Assalamualaikum wt sahabat yang dikasihi
Hari ini 16 hb Feb adalah merupakan hari ulang tahun ke 76 Al-Fadhil Dato` Ust Dahlan b Mohd Zain, ustaz yang kita kasihi.Semoga Allah memberikan beliau nikmat sihat dan dipanjangkan usia beliau kerana kita masih dahagakan tarbiyah dari beliau..Beliau seorang yang penyayang .Kasihsayangnya dapat dirasai oleh semua golongan, kanak-kanak, golongan remaja maupun rakan sebayanya. Apa yang di tuliskan oleh Akhie Hilal Asyraf, benar sekali. Untuk tatapan sahabat pembaca , disini saya "copy " dari blog Langit Ilahi( http://ms.langitilahi.com/dedikasi-ustaz-dahlan-dia-murabbi-saya atau http://ms.langitilahi.com ). Diharap dapatlah layari blog beliau. Sesungguhnya pengalaman beliau bersama beliau sangatlah indah...Marilah kita renungkan tulisan beliau dengan mata hati kita InsyaAllah...banyak bekalan yang boleh kita ambil....
Dedikasi: Ustaz Dahlan, dia murabbi saya (Oleh : Hilal Asyraf )
Ustaz Dahlan Mohd Zain. Dia adalah mudir di MATRI semenjak penubuhan sekolah itu 22 tahun yang lalu. Dia sudah tua. Pada saya, orang berumur sepertinya pasti berehat di rumah. Namun dia adalah contoh pejuang terbaik untuk saya. Dari berehat di rumah tanpa berbuat apa-apa, dia menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih berbaki itu untuk berbakti kepada ummah. Dia setia menjadi mudir dan menyumbang tenaga, mendidik pelajar-pelajar, memberikan contoh kepada teman-teman sekeliling. Terus-terusan menyembur hikmah mendidik pewaris.
Tetapi setiap manusia akan ada ujiannya.
Ustaz Dahlan baru-baru ini jatuh sakit dengan teruk sekali.
Pertama kali
Pertama kali bertemu dengan Ustaz Dahlan apadalah apabila saya menghadiri taklimat kemasukan peljar tingkatan satu di MATRI. Ketika itu, saya tidak nampak apa istimewanya manusia berumur lanjut ini. Yang menjadikan saya hairan, orang sekelilingnya sangat menghormati dirinya.
Namun ketika itu, kehairanan saya tidak menjadikan saya berminat mengenalinya dengan lebih dekat. Saya sibuk dengan diri saya bersama suasana baru, kawan-kawan baru dan pengalaman pertama berjauhan dari keluaarga.
Saya nampak ketika itu, Ustaz Dahlan hanyalah seorang mudir yang menggerakkan sebuah sekolah seperti mudir-mudir, pengertua-pengetua sekolah lain.
Kenangan pertama kali bergambar dengan Ustaz Dahlan - Tingkatan Lima 2006
Kelainannya terasa
Orang kata, qudwah itu lebih berkesan dari kata-kata.
Saya rasa, Ustaz Dahlan adalah orang yang berjaya memanifestasikan kata-kata itu dalam kehidupannya.
Walaupun saya tidak ambil pusing dengan kewujudan Ustaz Dahlan semasa saya tingkatan satu, saya sering melihatnya di MATRI. Selain sesi tazkirahnya bersama kitab Mujahid Fathi Yakan bertajuk “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” pada setiap perhimpunan pagi hari Isnin, dia adalah manusia yang saya amat sukar mendengar bicaranya.
Dari apa yang saya lihat, Ustaz Dahlan memancarkan qudwah sebelum dakwah. Dia menjaga kebersihan, menepati waktu, mengisi masa, bermesra dengan rakan-rakan sekerja. Antara yang menyentuh hati saya adalah, setiap kali rehat dia akan memanggil tukang kebun MATRI untuk bersarapan dengannya.
Saya pernah bersembang dengan tukang kebun MATRI yang saya panggil Pak Man. Dia pernah berkata pada saya:
“Ana ni kan, kerja tukang kebun di MATRI ni sampai mati pun sanggup. Sini ada tarbiyah”
Dari mana tukang kebun itu, Pak Man itu, mendapat kekuatan dan kesungguhan sebegitu rupa? Mesti la dari qudwah yang mendidiknya selama ini.
Ustaz Dahlan, selain kerja di pejabatnya, tetap tegar memasuki kelas mengajar, dan antara kegiatan masa lapangnya adalah berjalan mengelilingi sekolah memerhatikan keadaan pelajar dan persekitaran sekolah. Dia setia berjemaah dengan kami pelajar di musolla. Walaupun, dia mempunyai penyakit gout yang agak berat.
Kegigihannya, ketabahannya, ketenangannya, hikmahnya, menggamit hati sesiapa yang memandang. Menyebabkan selepas itu, kata-katanya walaupun sederhana, berjaya menyentuh hati manusia yang mendengarnya.
mandi di laut mati bersama Ustaz Dahlan. Saya sering di sisinya, menjaga.
Bicaranya
Ustaz, bicaranya sedikit. Dalam banyak-banyak manusia yang berilmu banyak saya pernah jumpa, Ustaz Dahlan paling sikit bicaranya. Kata-katanya terkawal dan dia berbicara perkara yang memberi faedah sahaja.
Saya masih ingat lagi, apabila dia menaiki musolla MATRI pada waktu cuti, dan ketika itu bulan puasa, dia melihat semua pelajar sekadar berbaring-baring tanpa berbuat apa-apa. Lantas dia berkata:
“Ketahuilah bahawa, batu yang bergolek adalah batu yang tidak diselaputi lumut, manakala batu yang diam sahaja, maka lumut akan menyelimutinya”
Dan sedikit bicaranya hari itu, membangkitkan semua pelajar yang mendengarnya. Antara yang paling terkesan, adalah saya yang ketika itu hanya pelajar tingkatan dua. Dari situ, saya mula nampak hikmah yang tersembunyi di dalam diri Ustaz Dahlan. Dari hari itu, saya mula berusaha mendekatinya.
Pernah, ada sekumpulan pelajar sengaja menjadikan kelas mereka tidak bermeja, menukarkan meja kelas mereka dengan meja kecik ala-ala jepun, menjadikan mereka duduk bersila di atas lantai sambil belajar. Saya yang merupakan pelajar tingkatan tiga ketika itu, antara yang kagum dengan kekreatifan abang-abang saya masa itu.
Tapi apabila Ustaz Dahlan melihat kelas itu, dia berkata:
“Ini lebih muai dari mangkuk” Muai adalah bahasa utara yang maksudnya bubur. Bicaranya yang pendek ketika itu, membuatkan seluruh kelas bergerak mengambil meja dan kerusi semula.
Kekaguman saya berpindah dari kekreatifan abang-abang, kepada syakhsiah Ustaz Dahlan ketika itu. Kata-kata yang pendek, tapi panjang perbahasannya. Sebab selepas itu, saya berbincang dengan abang-abang, apa yang mereka faham dari kata-kata Ustaz sehingga mereka bergerak sepantas itu mengubah keadaan mereka.
Perbahasan itu, mungkin saya tinggalkan sahaja. Nanti post ini menjadi terlalu panjang. Yang penting, selepas itu saya nampak betapa tingginya kaliber Ustaz Dahlan.
Ustaz Dahlan, dia kurang mengarah. Dia lebih kepada memberi pendapat. Ini diakui sendiri oleh guru-guru lain. Saya ni jenis suka korek pengalaman dari guru-guru di MATRI. Jadi saya ada 1001 cerita berkenaan Ustaz Dahlan, qudwahnya, cara dia bergaul dengan guru-guru dan cara dia bekerja.
Bicaranya sedikit, namun bila dia berbicara, bicaranya akan dituruti.
Itu Ustaz Dahlan.
tidak melepaskan sebarang peluang bersama Ustaz Dahlan. Dia pun tak kisah, boleh duduk dengan siapa sahaja
Saya dengan Ustaz Dahlan
Saya mula rapat dengan Ustaz Dahlan ketika saya tingkatan tiga. Ada air tertumpah di atas musolla semasa majlis berbuka puasa, dan saya pantas mengelanya. Tanpa saya sedari, Ustaz Dahlan ada di sebelah saya.
Selepas itu, dia memanggil saya untuk makan setalam dengannya. Itu jarak paling dekat saya dengan Ustaz Dahlan. Walaupun ketika itu, saya sedang berpeluh dan sedikit kotor kerana melakukan kerja. Ustaz tidak kisah. Itulah saatnya saya amat tertarik dengan Ustaz Dahlan.
Apabila saya menjadi pelajar cemerlang PMR tahun 2004. Maka pada tahun 2005, saya ada berjumpa dengan Ustaz Dahlan secara personal untuk meminta tandatangannya bagi mengesahkan beberapa sijil saya di MATRI.
Saya masih ingat, dia mengajak saya duduk di sebelahnya dan melihat sijil saya.
“9A? Mabruk, mabruk” itu kata ustaz. Sedangkan dia sebenarnya sudah tahu dari isterinya yang juga amat rapat dengan saya – Ummi Halimaton.
Semenjak hari itu, saya sering berusaha mendekati Ustaz Dahlan. Dan Ustaz bukanlah yang sukar didekati. Saya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil sesuatu daripadanya. Pantang ada peluang makan setalam dengannya, pasti tidak akan saya lepaskan.
Peluang saya yang terbesar adalah pada tahun 2008, apabila Ummi Halimation menjalani pembedahan mata. Saya tinggal bersama Ustaz Dahlan untuk jangka masa yang agak lama, bermalam dengannya, memasak dengannya, makan dengannya.
Duduk dengan Ustaz Dahlan, membuatkan saya lebih nampak kenapa orang menghormatinya. Mudah ceritanya, dia adalah orang yang menundukkan dirinya kepada Allah, lantas Allah memudahkan urusannya dengan orang lain. Begitu lah.
Perkongsian-perkongsian daripada Ustaz Dahlan adalah yang terbaik pernah saya dapat dalam hidup. Kebanyakan perkongsian dan pendapatnya, saya pegang hingga ke hari ini, dan membantu saya untuk menjadi lebih baik.
Dekat di hati
Kali terakhir bersama Ustaz Dahlan dalam hidup saya setakat ini adalah dua bulan yang lepas.
Pada penghujung bulan Ogos, Ustaz Dahlan datang ke Jordan menziarahi kami dalam perjalanannya menunaikan umrah. Saya dan teman-teman yang seperti saya, tidak melepaskan peluang sesaat pun dengan Ustaz Dahlan.
Kami bertanya kepadanya itu dan ini, meminta nasihat, meminta pandangan.
Pada kami, dia adalah murabbi kami, pendidik mithali. Sukar sebenarnya hendak menulis fasal Ustaz Dahlan. Sebab kekuatan Ustaz adalah pada hikmahnya, pada kebijaksanaannya, pada akhlaknya.
Tapi di mana sahaja dia berada, pada saya Ustaz Dahlan tetap dekat di hati kami.
Mana hendak dicari pemimpin seperti itu, tetapi sanggup duduk dengan kanak-kanak macam kami? Minum teh bersama, makan setalam, jalan bersama.
Saya, sudah anggap Ustaz Dahlan macam datuk saya sendiri. Kebetulan, kedua-dua datuk saya sudah meninggal di awal kehidupan saya.
Ketika Ummi Halimaton meninggal dunia pertengahan tahun ini, antara yang saya terfikir selepas mendapat berita peninggalan ummi adalah – Ustaz Dahlan macam mana?
Automatik terfikir begitu. Rasa macam ingin balik Malaysia dan menjaga Ustaz sebaik mungkin, menyenangkan hati dia. Tapi ternyata, Ustaz Dahlan yang datang kepada saya di Jordan, menunjukkan betapa tabahnya dia, mengajar saya betapa dakwah dan tarbiyah bukan untuk mereka yang manja.
Sukar sebenarnya hendak bercerita berkenaan Ustaz.
Ia lebih kepada bahasa hati kepada hati, bagi siapa yang pernah menyaksikan Ustaz dengan mata kepala mereka sendiri.
Kini
Bila mendapat berita Ustaz diserang denggi, saya sebenarnya sudah tidak senang hati. Saban hari, saya mendengar keadaan ustaz semakin parah. Dari denggi, saya dapat tahu pula ustaz menerima beberapa penyakit lain.
Saban hari saya bertanya kepada Sahel: “Agak-agak Ustaz macam mana?”
Seakan-akan saya yang sakit. Saya sebenarnya hendak berada di sisinya, menghabiskan masa saya dengannya, berkongsi lagi beberapa perkara dengannya. Malah, beberapa hari lepas, semasa sedang belajar, saya seakan-akan terserap dalam dimensi lain dan terasa seperti sedang duduk di sebelah Ustaz Dahlan.
Mesej-mesej dan e-mail yang saya terima berkenaan kesakitannya membuatkan saya rasa perit.
Di dalam hati, saya sering berdoa agar ustaz tidak diambil pergi lagi.
Hari ini, saya membaca e-mail, bahawa keadaan Ustaz bertambah stabil. Saya rasa lega, namun saya tahu, tubuh ustaz sudah tua walaupun jiwanya sentiasa muda. Selepas diserang dugaan sebegini hebat, tubuh tuanya pasti sukar bertahan lama.
Post ini pun saya tulis sebagai dedikasi saya kepadanya. Saya rasa rindu dengan Ustaz Dahlan, dan masih ingin menghabiskan masa dengannya. Saya, masih ada benda yang perlu diambil daripada Ustaz Dahlan.
Dan saya tak rasa saya sahaja berperasaan demikian. Sesiapa sahaja yang rapat dengan Ustaz, yang pernah mendapat tarbiyah daripadanya, pasti merasa apa yang saya rasa.
Kami, punya hubungan hati yang kuat berpaksikan keimanan.
Saya yakin, perasaan saya ini turut dikongsi oleh ramai orang.
tetap berusaha mengambil mutiara daripadanya, walaupun Ustaz sudah hendak berlepas masa ni. Ini kali terakhir bersama Ustaz setakat ni. harap bukan yang terakhir selamanya.
Penutup: Doakan dia
Saya harap, pembaca website Langit Ilahi akan berusaha bersama-sama saya mendoakan Ustaz Dahlan. Semoga dia sembuh lebih baik, dan Allah panjangkan umurnya.
Saya merayu kepada anda semua. Doakanlah kesihatannya.
Ustaz Dahlan, pada saya adalah antara manusia yang menyedarkan saya betapa luasnya kehidupan sebagai hamba Allah SWT.
Semoga Allah redha dengan Ustaz Dahlan, mengangkat segala masalahnya, memudahkan segala urusannya, menyembuhkan segala penyakitnya.
Wahai pembaca, katakanlah amin.
Sesungguhnya dia, murabbi yang saya amat kasih.
Semoga pengalaman beliau bersama Ustaz Dahlan dapat memberi i'tibar kepada hidup kita InsyaAllah
dmar
0 comments:
Post a Comment