Jom..kita renungkan...



 Wahai Manusia  ...
    
Ohhh.. indahnya hidup ini...bila aku lapar..aku akan cari makanan, buah-buahan dan apa aja yang boleh mengenyangkan perut aku. Halal atau haram ????...aku tak kesah..semuanya halal bagi aku.

Aku boleh bergaul dengan bebas....jantan atau betina..sama saja..
yang penting ...nafsu aku puas...hidup aku enjoy..

Aurat..???? ahhh...tak payah susah-susah...tutup sikit-sikit sudahlah... Zaman moden kan...aku memang dari dulu sampai sekarang tak kesah dengan aurat pun...!!!

Kalau tuan/puan nak jadi aku...jom ikutlah cara hidup aku.....
Cuma aku hanya seekor binatang..kalau mati tak masuk neraka..
Tapi tuan /puan adalah manusia...kalau mati tentu masuk neraka ..

Ok lah...aku nak rehat ni,tapi tolonglah fikirkan pesanan aku ini... !!

                                                Pesanan dari beruk kesepian


DI MANA KESUDAHAN KITA.....

Ketika itu saya bertugas di Pusat Kesihatan Selising (berhampiran dengan Pasir Putih) Kelantan.Salah seorang pesakit tetap saya adalah seorang ustaz berusia lebih kurang 35 tahun.Malangnya dia telah mengidap pengakit jantung (Ischemic Heart Disease). Dia memang sangat bergantung kepada ubat.Keluar masuk wad tu memang telah biasa baginya.Kerjaya nya membawa orang pergi Umrah dan Haji. Saya pula memang tinggal di Kuaters Doktor disitu.Saya dengan dia  memang rapat  dan mesra .kami selalu berjumpa di masjid.
Pada tahun itu , dia merancang nak bawa kira-kira 20 orang jemaah untuk menunaikan haji .




       Suatu malam kira-kira jam 10.00 malam.ada orang yang mengetuk pintu rumah saya mengatakan ada orang sakit dada.Saya bergegas ke klinik untuk memberi pertolongan. Ini memang tugas saya. "On call " 24 jam. Rupa-rupanya ustaz tu dapat sakit dada. Dia kesakitan, tubuhnya berpenuh dan sejuk.Saya segera memberikan rawatan kecemasan. Saya lakukan pemeriksaan ECG (ujian untuk jantung). Memang, ujian menunjukkan dia mendapat serangan jantung baru. Saya bagitau dia elok-elok.
" Ustaz ada masalah jantung sikit, saya terpaksa hantar ustaz ke hospital untuk rawatan lanjut."
Kebetulan masa itu, dia dijadualkan akan membawa jemaah haji kira-kira 2 minggu lagi.


Tiba-tiba dia menangis teresak-esak.
" Doktor...tolong saya doktor...saya nak pergi ke Mekah dulu...Ya Allah....selamatkanlah saya..."


Saya memberikan ubat "GTN" untuk diletakkan dibawah lidah.Dia memang dapat serangan jantung, " Acute Myocardial Infarction". Saya perlu sesegera mungkin merujuknya ke hospital. Saya bimbang kalau dia mati di klinik ini atau pun semasa didalam perjalanan. Tambahan pula saya cukup kenal dia.Saya segera memasukkan air melalui saluran darah, IV drip. Bekalan oxygen juga diberikan.


Yang anihnya dia terus menangis teresak-esak seperti seorang kanak-kanak menangis.Jarang saya melihat keadaan sebegini .
"Sabar ustaz...InsyaAllah ustaz akan selamat, ingatlah Allah banyak-banyak..." kata saya kepadanya


" Anak saya masih kecil-kecil doktor...siapalah yang akan jaga diaorang kalau saya mati...saya takut mati doktor..." Hampir tak percaya dia meluahkan perasaannya kepada saya. Memang dia sangat sedih sambil air matanya terus bercucuran. Isteri dia tidak datang sebab kena jaga anak-anak yang masih kecil.Hanya adiknya yang mengiring beliau.
Akhirnya setelah saya pujuk, tangisannya semakin reda. Sakit dadanya reda sedikit.Saya pun merasa lega.Dia pun kelihatan semakin tenang.


" Ya Allah...izinkankanlah saya bawa orang Haji kali ini....diaorang sangat perlukan saya , doktor..!!!."


Dia tetap bersemangat untuk menunaikan ibadah haji.


" InsyaAllah ustaz akan sembuh...bersabarlah dan ingatlah kepadaNya.." jawab saya ringkas


Dia sempat memberikan seyuman kepada saya sebelum kereta ambulan bertolak.
"Terimakasih doktor...tolong doakan saya cepat sembuh..."


Setelah semua persiapan dilakukan, beliau segera dibawa ke HUSM  dengan sebuah kereta ambulan.Saya sentiasa berdoa agar dia selamat sampai ke hospital untuk rawatan rapi.


Keesokan paginya saya seperti biasa ke klinik. Oleh kerana kesibukan tugas saya lupa kesah ustaz yang saya hantar ke HUSM.Kira-kira jam 10.00 pagi saya menerima call dari isterinya...

 
(Gambar hiasan)
" Doktor, ustaz dah tak ada....dia meninggal jam 9.30 pagi tadi..di CCU." Suaranya lemah sekali.Saya dapat dengar suara tangisan kesedihan. Saya memang terkejut, sebab dia kelihatan lebih stabil semasa hendak  dihantar ke hospital, namun saya pun tau, bila berlaku serangan jantung, kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Bila teringat kata-katanya saya rasa pilu, teringat anak-anak yang masih kecil, teringat bakal-bakal haji yang ingin dipimpinnya, kerinduannya dengan lambaian kaabah. Semuanya tidak kesampaian, Allah lebih awal memanggilnya pulang. Semoga Allah menempatkan rohnya disisi orang yang soleh.DaripadaNya kita datang dan kepadaNyalah kita akan di kembalikan.

PENGAJARAN


Itulah hakikat kematian. Samada kita mahu ataupun tidak, apabila sampai waktunya kita tetap kembali kepadaNya.Tiada suatu kuasa pun yang dapat menghalangnya. Kita tiada pilihan. Semuanya haq mutlak Allah swt.Persoalannya :

                Adakah kematian kita , mati yang terhina atau mulia????

Sebenarnya kematian kita pun perlu perancangan, perlu kepada persiapan. Oleh itu marilah kita mempertingkatkan amal kita sebelum kita dipanggil pulang oleh Allah swt


Maksud hadith Rasulullah saw,
" Orang yang sentiasa mengingat kematian, maka hartanya yang sedikit sudah dianggap banyak.Sebaliknya (orang yang tidak mengingati kematian) jika hartanya banyak, maka ia berasa masih sedikit"

             Aku datang ke kubur, lalu memanggil:
               manakah orang yang terhormat dan manakah orang yang terhina,
                mereka telah mati dan tak ada kabar lagi
                  semuanya mati dan demikian pula riwayat hidup mereka.


            Hai orang yang bertanyakan orang-orang kepada masa silam
              tidakkah kamu sudah mengambil iktibar masa lalu?
                 Bunga-bunga desa bermunculan menghiasi kampung
                   namun satu persatu keindahan itu hilang untuk selamanya.

Kita laksana sekuntum bunga yang masih mekar, ada diantara kita bagaikan sekuntum bunga yang mulai layu, entah esok atau lusa ia akan gugur kebumi jua untuk selama-lamanya.Fikirkanlah.......




dmar














Me

BERMENAFAATLAH KEPADA ORANG LAIN......

Assalamualaikum wt,

Sahabat yang dikasihi. Sesungguhnya salah satu dari Muwasaffat Tarbiyah adalah "Nafi'un Li ghoirihi" atau "bermenafaat kepada orang lain". Oleh itu kita perlu mempersiapkan diri kita untuk sedia berbakti dimasa sahaja.Bukan berbakti untuk bangsa, bukan berbakti untuk negara semata-mata, tetapi yang lebih besar dari itu adalah untuk kita berbakti demi untuk Islam. Kita nak jadikan ia sebagai ibadah. Nak tukarkan ia untuk menjadi "pahala", InsyaAllah.Oleh itu setiap amal mestilah dimulai dengan niat yang betul, iaitu untuk mencari "Mardhatillah".Adakalanya niat kita yang murni bertukar untuk mencari nama, kedudukan dan sebagainya. Amalan sebegini hanyalah seperti debu-debu yang berterbangan, Na'uzubillah.

Banyak gerakan Islam didunia pada hari ini berjaya melalui banyaknya aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Mereka berkhidmat dengan membawa syahsiah Islamiyah, membawa risalah dakwah.Contohnya : PKS di Indonesia. Mereka mempunyai ramai relawan yang sanggup berbakti terutama bila berlakunya bencana alam seperti gempa dan sebagainya. Pengalaman saya semasa mengikuti misi bantuan kemanusiaan HALUAN  ke Padang/Pariaman beberapa bulan yang lalu saya dapati relawan mereka berkhidmat dengan penuh keihklasan, mereka bekerja dengan berbekalkan qiamulail, bacaan al Qur'an dan zikir kepada Allah. Mereka  mengutamakan orang lain melebihi dari kepentingan diri sendiri.Mereka berbakti dengan penuh kegembiraan dan diselubungi rasa ukhuwah yang tinggi , walaupun ramai dikalangan mereka yangmana rumah mereka turut musnah akibat gempa.Apabila kami ingin menyalurkan bantuan, mereka asyik  memberikan kepada orang lain (sedangkan pada hakikatnya mereka juga memerlukan bantuan sebab rumah mereka runtuh teruk). Inilah hasil Tarbiyah Islamiyah. Melahirkan jiwa-jiwa yang hebat.Mengutamakan saudaranya melebihi dari keperluan diri mereka sendiri.

(Dr Salwana sedang memberi ceramah )                            (Dr Nordin dan Dr Pazudin sedang bertugas)

Alhamdulillah, walaupun negara kita aman, kita harus mempersiapkan jiwa kita agar sentiasa bersedia untuk berbakti. Persiapan ini sangat penting agar kita mampu memberi khidmat bila-bila masa sahaja jika diperlukan. Salah satu latihan yang telah dirancang oleh Haluan adalah melalui program khidmat masyarakat.Pada hari kelmarin (20/02/10) bersamaan hari Sabtu , Kelab Haluan(KKH) Kelantan telah diberi amanah untuk berbakti kepada penduduk kampung di sekitar Masjid Pendek Kota Bharu dari jam 10.00 pagi - 1.00 tgh. Seramai 5 orang doktor  KKH terlibat  dan telah telah dibantu oleh Kelab Remaja Haluan dan Haluanita Kelantan. Seramai 102 orang pesakit telah menerima rawatan percuma. Diantara pendekatan yang digunakan semasa merawat adalah merawat dengan penuh kasihsayang, mesra dan ikhlas.Sambutan dari masyarakat setempat amat menggalakkan.Sementara itu Dr Salwana Mohyudin iaitu Pakar Sakit Puan Hospital Raja Perempuan Zainab II telah memberi ceramah mengenai Penyakit Kanser di kalangan wanita. Beliau juga merupakan Ketua Haluanita Kelantan telah menyeru golongan wanita agar segera tampil untuk mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda yang yang meragukan terutama bagi kes kanser payudara (Breast Canser) dan kanser pangkal rahim (Ca Cervix).Kira-kira 40 - 50 orang wanita telah hadir mendengar ceramah tersebut.
      (Tempat memberi ubat)                                             (golongan remaja Haluan dilatih untuk berbakti)

Rumusan

1. Kita mesti membuat persiapan jiwa untuk sentiasa bermenafaat kepada orang lain.
2. Libatkan diri anda secara aktif didalam aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan adap adap Islam.
    (Jika anda berminat anda boleh mendaftar sebagai relawan Haluan )
3. Melaksanakan kerja kebajikan akan menambahkan lagi rasa ukhuwwah fillah
4. Dapat menimba pengalaman baru untuk mendekati masyarakat.
5. Kita adalah orang yang mulia kerana kita membawa misi dakwah.


DMAR

  

PENGALAMAN MENJADI TETAMU SEORANG MURABBI

Walaupun peristiwa ini telah hampir 20 tahun berlalu, namun peristiwa ini tetap subur dijiwa saya. Telah berulangkali saya ceritakan kepada anak-anak dan  didalam ceramah-ceramah saya, maupun didalam halaqah, namun ia tetap utuh dijiwa ini. Tidak pernah rasa jemu.Sentuhan tarbiyah yang sangat berkesan dijiwa saya. Tujuan catatan ini bukanlah  untuk mengagung-agung individu tertentu, tetapi realiti yang banyak mengajar saya erti "Ukhuwah Fillah", tentang adap mera'i tetamu. Pengalaman sebegini tidak dapat dibaca melalui buku-buku. Pengalaman ini adalah lahir dari jiwa yang telah larut dan sebati dengan Tarbiyah Islamiyah sehingga lahir individu yang mulia akhlaqnya.

      Ketika itu telah diadakan satu tamrin umum di Matri Perlis. Setelah program itu tamat, seperti biasa kami sempat bersalaman dengan Al Fadhil Ust Dahlan sebagai tanda selamat berpisah. Ketika itu kami 4 keluarga bercadang untuk bertolak ke kelantan . Keluarga saya, keluarga cikgu Mahmud, Mohd Muslim dan Zakaria Mat Yaman. Ketika itu kalau tidak silap saya lebih kurang jam 5.00 petang. Nak balik ke Kota Bharu, tentu sampai tengah malam.Jalan masa itu tidak seindah jalanraya sekarang.Nak melalui hutan Jeli- Grik..MasyaAllah gerun juga.Maklumlah bimbang jika berlaku kerosakan kenderaan, tentu banyak masalah nanti. Kami pun mesyuarat nak tangguhkan balik pada keesokan harinya. Bertolak pagi tentu lebih selesa, maklumlah ketika itu semuanya pakai kereta "secondhand".Tapi kami nak tidur dimana...salah seorang mencadangkan kepada kami untuk tumpang tidur dirumah Ustaz Dahlan. Dalam hati saya, berbagai perasaan timbul.Mana mungkin nak tumpang tidur dirumah ustaz. Siapalah kami ini...Dia pun tak kenal kami secara mendalam.Hanya sekadar kenal sebab datang ke program itu saja.Saya rasa tidak menasabah langsung nak tidur dirumah Ustaz. Maklumlah, ketika itu pun beliau telah uzur dengan penyakit gout nya.Lagi pun keputusan ini terlalu mendadak. Hari dah petang..kemudian nak tumpang tidur pulak. Macam manalah dia sekeluarga nak meraikan kami. Dia pun keletihan sebab majlis yang agak besar pada hari itu baru saja tamat.Ketika itu perasaan saya bercampurbaur.Rasa malupun ada kerana akan menyusahkan dia.Saya tidak tergamak nak bagitau ustaz permintaan itu.Kami bukannya 4 orang, tapi dengan isteri dan anak masing-masing

   Akhirnya saya bertekad akan mendiamkan diri saya.Oleh kerana rakan-rakan lain tetap untuk "cuba"  tanya ustaz tentang hajat kami, saya menurut saja.Saya masih ingat salah seorang dari kami bersuara

  " Ustaz...kalau tak menyusahkan ustaz, kami hajat nak tumpang tidur dirumah ustaz malam ini boleh tak..? Kami bercadang nak bertolak ke kelantan pagi esok..."

  Dengan wajah yang gembira, tanpa berfikir panjang dengan spontan dia menjawab,

 "Boleh....Boleh...silakan tidur rumah ana..."

MasyaAllah......Allah yang tau perasaan saya ketika itu.Gembira bercampur rasa malu. Gembira : kerana berpeluang lebih lama untuk bersama dengan seorang murabbi, dapat melihat kehidupannya. Malu : kerana siapalah kami disisinya, hanya peserta biasa yang tidakpun dikenali. Dia pun tidak mengenali saya secara mendalam.Malu kerana sudah pasti kami akan banyak menyusahkan ustaz sekeluarga  sedangkan ustaz pun keletihan dan uzur dengan gout nya

Jawapan ringkas yang beliau berikan, amat mendalam kesannya dijiwa saya.Walaupun 20 tahun telah berlalu, namun masih mantap didalam ingatan. Tidak pernah saya bayangkan, dengan spontan dan raut wajah yang gembira, sangat mudah memberi persetujuan, tanpa memikir langsung resiko yang bakal ditanggungnya. MasyaAllah.. Sentuhan tarbiyah berbentuk amali.

     Kami mengekori kereta ustaz kerumahnya. Rumah ustaz ketika itu hanya rumah kayu yang cukup sederhana.Memang benar seperti kata sahabat-sahabat lain , ustaz seorang yang sangat sederhana dan suka merendahkan diri. Kami diraikan dengan penuh kemesraan dan  hormat.Saya dapat merasai seolah-olah kami ini adalah tetamu istimewa bagi beliau. Ustaz yang mengangkat dan menghidangkan makanan untuk kami dengan penuh senyuman. Yang lebih hebat lagi, walaupun dalam keadaan uzur,beliau sendiri yang menyendukkan nasi kedalam pinggan kami. MasyaAllah...Malu...tapi tak mampu nak buat apa-apa.

       Malam itu, setelah makan malam, kami pun duduk diatas kerusi yang agak sudah uzur.Bila ustaz tau saya seorang doktor, dia mula menarik perhatian saya dengan perbualan mengenai penyakit yang dihidapinya. Dia duduk berselimpuh (seperti duduk diantara dua sujud) dihadapan saya, bercerita mengenai penyakitnya.Saya duduk diatas kerusi, dia pula duduk diatas lantai...sekali lagi saya rasa cukup malu...mana mungkin kami duduk diatas kerusi dan dia berselimpuh diatas lantai. Kami pun bergegas untuk duduk diatas lantai bersama dengan beliau.Beliau melayan kami seolah-olah beliau telah lama mengenali kami.Ustaz seorang yang tidah gopoh memberi jawapan kepada sesuatu soalan.Selalunya beliau memberi jawapan dengan berhati-hati dan  dia memberikan  jawapan  dengan jujur dan sempurna.Sampai waktu tidur, beliau sendiri yang mengheret tilam dan memberikan selimut.Senyuman sentiasa terukir dibibirnya.Kami terlena dengan penuh kedamaian.

     Keesokannya sampailah masanya untuk bertolak ke kelantan.Salah seorang dari kami mengajaknya untuk sesi bergambar bersama.Saya tau, ustaz ketika itu kurang berminat untuk bergambar. Terfikir dihati saya , mungkin ustaz akan berasa serbasalah.Memang.... ustaz seorang yang sangat memuliakan tetamu. Langsung tidak tergambar raut wajah nya seperti seorang yang serbasalah. Sebaliknya dia dengan gembira mera'ikan hajat kami, mengabadikan gambar kenangan bersama beliau. Yang pasti kami pulang kepuasan dan seribu kenangan indah bersama seorang murabbi mithali..Kami merasai sebagai tetamu paling istimewa bagi beliau.Saya yakin, siapa saja yang menjadi tetamu ustaz, dia juga akan merasai seperti apa yang kami rasai. Sesungguhnya Ust Dahlan adalah seorang yang sangat memuliakan tetamu.Sesuatu yang perlu kita ingat,disamping beliau melaksanakan kebaikan, kita dapat merasai beliau sedang mendidik kita secara amali.

Kini Ustaz sedang uzur, marilah kita doakan agar beliau kembali sehat dan semoga Allah sentiasa memberkati hidup beliau.

dmar

Dedikasi: Ustaz Dahlan, dia murabbi saya (Oleh : Hilal Asyraf )

Assalamualaikum wt sahabat yang dikasihi
Hari ini  16 hb Feb adalah merupakan hari ulang tahun ke 76 Al-Fadhil Dato` Ust Dahlan b Mohd Zain, ustaz yang kita kasihi.Semoga Allah memberikan beliau nikmat sihat dan dipanjangkan usia beliau kerana kita masih dahagakan tarbiyah dari beliau..Beliau seorang yang penyayang .Kasihsayangnya dapat dirasai oleh semua golongan, kanak-kanak, golongan remaja maupun rakan sebayanya. Apa yang di tuliskan oleh Akhie Hilal Asyraf, benar sekali. Untuk tatapan sahabat pembaca , disini saya "copy " dari blog Langit Ilahi( http://ms.langitilahi.com/dedikasi-ustaz-dahlan-dia-murabbi-saya  atau http://ms.langitilahi.com ). Diharap dapatlah layari blog beliau. Sesungguhnya pengalaman beliau bersama beliau sangatlah indah...Marilah kita renungkan tulisan beliau dengan mata hati kita InsyaAllah...banyak bekalan yang boleh kita ambil....


Dedikasi: Ustaz Dahlan, dia murabbi saya (Oleh : Hilal Asyraf )

Ustaz Dahlan Mohd Zain. Dia adalah mudir di MATRI semenjak penubuhan sekolah itu 22 tahun yang lalu. Dia sudah tua. Pada saya, orang berumur sepertinya pasti berehat di rumah.
Namun dia adalah contoh pejuang terbaik untuk saya. Dari berehat di rumah tanpa berbuat apa-apa, dia menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih berbaki itu untuk berbakti kepada ummah. Dia setia menjadi mudir dan menyumbang tenaga, mendidik pelajar-pelajar, memberikan contoh kepada teman-teman sekeliling. Terus-terusan menyembur hikmah mendidik pewaris.
Tetapi setiap manusia akan ada ujiannya.
Ustaz Dahlan baru-baru ini jatuh sakit dengan teruk sekali.
Pertama kali
Pertama kali bertemu dengan Ustaz Dahlan apadalah apabila saya menghadiri taklimat kemasukan peljar tingkatan satu di MATRI. Ketika itu, saya tidak nampak apa istimewanya manusia berumur lanjut ini. Yang menjadikan saya hairan, orang sekelilingnya sangat menghormati dirinya.
Namun ketika itu, kehairanan saya tidak menjadikan saya berminat mengenalinya dengan lebih dekat. Saya sibuk dengan diri saya bersama suasana baru, kawan-kawan baru dan pengalaman pertama berjauhan dari keluaarga.
Saya nampak ketika itu, Ustaz Dahlan hanyalah seorang mudir yang menggerakkan sebuah sekolah seperti mudir-mudir, pengertua-pengetua sekolah lain.
Kenangan pertama kali bergambar dengan Ustaz Dahlan - Tingkatan Lima 2006
Kenangan pertama kali bergambar dengan Ustaz Dahlan - Tingkatan Lima 2006
Kelainannya terasa
Orang kata, qudwah itu lebih berkesan dari kata-kata.
Saya rasa, Ustaz Dahlan adalah orang yang berjaya memanifestasikan kata-kata itu dalam kehidupannya.
Walaupun saya tidak ambil pusing dengan kewujudan Ustaz Dahlan semasa saya tingkatan satu, saya sering melihatnya di MATRI. Selain sesi tazkirahnya bersama kitab Mujahid Fathi Yakan bertajuk “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” pada setiap perhimpunan pagi hari Isnin, dia adalah manusia yang saya amat sukar mendengar bicaranya.
Dari apa yang saya lihat, Ustaz Dahlan memancarkan qudwah sebelum dakwah. Dia menjaga kebersihan, menepati waktu, mengisi masa, bermesra dengan rakan-rakan sekerja. Antara yang menyentuh hati saya adalah, setiap kali rehat dia akan memanggil tukang kebun MATRI untuk bersarapan dengannya.
Saya pernah bersembang dengan tukang kebun MATRI yang saya panggil Pak Man. Dia pernah berkata pada saya:
“Ana ni kan, kerja tukang kebun di MATRI ni sampai mati pun sanggup. Sini ada tarbiyah”
Dari mana tukang kebun itu, Pak Man itu, mendapat kekuatan dan kesungguhan sebegitu rupa? Mesti la dari qudwah yang mendidiknya selama ini.
Ustaz Dahlan, selain kerja di pejabatnya, tetap tegar memasuki kelas mengajar, dan antara kegiatan masa lapangnya adalah berjalan mengelilingi sekolah memerhatikan keadaan pelajar dan persekitaran sekolah. Dia setia berjemaah dengan kami pelajar di musolla. Walaupun, dia mempunyai penyakit gout yang agak berat.
Kegigihannya, ketabahannya, ketenangannya, hikmahnya, menggamit hati sesiapa yang memandang. Menyebabkan selepas itu, kata-katanya walaupun sederhana, berjaya menyentuh hati manusia yang mendengarnya.
mandi di laut mati bersama Ustaz Dahlan. Saya sering di sisinya, menjaga.
mandi di laut mati bersama Ustaz Dahlan. Saya sering di sisinya, menjaga.
Bicaranya
Ustaz, bicaranya sedikit. Dalam banyak-banyak manusia yang berilmu banyak saya pernah jumpa, Ustaz Dahlan paling sikit bicaranya. Kata-katanya terkawal dan dia berbicara perkara yang memberi faedah sahaja.
Saya masih ingat lagi, apabila dia menaiki musolla MATRI pada waktu cuti, dan ketika itu bulan puasa, dia melihat semua pelajar sekadar berbaring-baring tanpa berbuat apa-apa. Lantas dia berkata:
“Ketahuilah bahawa, batu yang bergolek adalah batu yang tidak diselaputi lumut, manakala batu yang diam sahaja, maka lumut akan menyelimutinya”
Dan sedikit bicaranya hari itu, membangkitkan semua pelajar yang mendengarnya. Antara yang paling terkesan, adalah saya yang ketika itu hanya pelajar tingkatan dua. Dari situ, saya mula nampak hikmah yang tersembunyi di dalam diri Ustaz Dahlan. Dari hari itu, saya mula berusaha mendekatinya.
Pernah, ada sekumpulan pelajar sengaja menjadikan kelas mereka tidak bermeja, menukarkan meja kelas mereka dengan meja kecik ala-ala jepun, menjadikan mereka duduk bersila di atas lantai sambil belajar. Saya yang merupakan pelajar tingkatan tiga ketika itu, antara yang kagum dengan kekreatifan abang-abang saya masa itu.
Tapi apabila Ustaz Dahlan melihat kelas itu, dia berkata:
“Ini lebih muai dari mangkuk” Muai adalah bahasa utara yang maksudnya bubur. Bicaranya yang pendek ketika itu, membuatkan seluruh kelas bergerak mengambil meja dan kerusi semula.
Kekaguman saya berpindah dari kekreatifan abang-abang, kepada syakhsiah Ustaz Dahlan ketika itu. Kata-kata yang pendek, tapi panjang perbahasannya. Sebab selepas itu, saya berbincang dengan abang-abang, apa yang mereka faham dari kata-kata Ustaz sehingga mereka bergerak sepantas itu mengubah keadaan mereka.
Perbahasan itu, mungkin saya tinggalkan sahaja. Nanti post ini menjadi terlalu panjang. Yang penting, selepas itu saya nampak betapa tingginya kaliber Ustaz Dahlan.
Ustaz Dahlan, dia kurang mengarah. Dia lebih kepada memberi pendapat. Ini diakui sendiri oleh guru-guru lain. Saya ni jenis suka korek pengalaman dari guru-guru di MATRI. Jadi saya ada 1001 cerita berkenaan Ustaz Dahlan, qudwahnya, cara dia bergaul dengan guru-guru dan cara dia bekerja.
Bicaranya sedikit, namun bila dia berbicara, bicaranya akan dituruti.
Itu Ustaz Dahlan.
tidak melepaskan sebarang peluang bersama Ustaz Dahlan. Dia pun tak kisah, boleh duduk dengan siapa sahaja
tidak melepaskan sebarang peluang bersama Ustaz Dahlan. Dia pun tak kisah, boleh duduk dengan siapa sahaja
Saya dengan Ustaz Dahlan
Saya mula rapat dengan Ustaz Dahlan ketika saya tingkatan tiga. Ada air tertumpah di atas musolla semasa majlis berbuka puasa, dan saya pantas mengelanya. Tanpa saya sedari, Ustaz Dahlan ada di sebelah saya.
Selepas itu, dia memanggil saya untuk makan setalam dengannya. Itu jarak paling dekat saya dengan Ustaz Dahlan. Walaupun ketika itu, saya sedang berpeluh dan sedikit kotor kerana melakukan kerja. Ustaz tidak kisah. Itulah saatnya saya amat tertarik dengan Ustaz Dahlan.
Apabila saya menjadi pelajar cemerlang PMR tahun 2004. Maka pada tahun 2005, saya ada berjumpa dengan Ustaz Dahlan secara personal untuk meminta tandatangannya bagi mengesahkan beberapa sijil saya di MATRI.
Saya masih ingat, dia mengajak saya duduk di sebelahnya dan melihat sijil saya.
“9A? Mabruk, mabruk” itu kata ustaz. Sedangkan dia sebenarnya sudah tahu dari isterinya yang juga amat rapat dengan saya – Ummi Halimaton.
Semenjak hari itu, saya sering berusaha mendekati Ustaz Dahlan. Dan Ustaz bukanlah yang sukar didekati. Saya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil sesuatu daripadanya. Pantang ada peluang makan setalam dengannya, pasti tidak akan saya lepaskan.
Peluang saya yang terbesar adalah pada tahun 2008, apabila Ummi Halimation menjalani pembedahan mata. Saya tinggal bersama Ustaz Dahlan untuk jangka masa yang agak lama, bermalam dengannya, memasak dengannya, makan dengannya.
Duduk dengan Ustaz Dahlan, membuatkan saya lebih nampak kenapa orang menghormatinya. Mudah ceritanya, dia adalah orang yang menundukkan dirinya kepada Allah, lantas Allah memudahkan urusannya dengan orang lain. Begitu lah.
Perkongsian-perkongsian daripada Ustaz Dahlan adalah yang terbaik pernah saya dapat dalam hidup. Kebanyakan perkongsian dan pendapatnya, saya pegang hingga ke hari ini, dan membantu saya untuk menjadi lebih baik.
Dekat di hati
Kali terakhir bersama Ustaz Dahlan dalam hidup saya setakat ini adalah dua bulan yang lepas.
Pada penghujung bulan Ogos, Ustaz Dahlan datang ke Jordan menziarahi kami dalam perjalanannya menunaikan umrah. Saya dan teman-teman yang seperti saya, tidak melepaskan peluang sesaat pun dengan Ustaz Dahlan.
Kami bertanya kepadanya itu dan ini, meminta nasihat, meminta pandangan.
Pada kami, dia adalah murabbi kami, pendidik mithali. Sukar sebenarnya hendak menulis fasal Ustaz Dahlan. Sebab kekuatan Ustaz adalah pada hikmahnya, pada kebijaksanaannya, pada akhlaknya.
Tapi di mana sahaja dia berada, pada saya Ustaz Dahlan tetap dekat di hati kami.
Mana hendak dicari pemimpin seperti itu, tetapi sanggup duduk dengan kanak-kanak macam kami? Minum teh bersama, makan setalam, jalan bersama.
Saya, sudah anggap Ustaz Dahlan macam datuk saya sendiri. Kebetulan, kedua-dua datuk saya sudah meninggal di awal kehidupan saya.
Ketika Ummi Halimaton meninggal dunia pertengahan tahun ini, antara yang saya terfikir selepas mendapat berita peninggalan ummi adalah – Ustaz Dahlan macam mana?
Automatik terfikir begitu. Rasa macam ingin balik Malaysia dan menjaga Ustaz sebaik mungkin, menyenangkan hati dia. Tapi ternyata, Ustaz Dahlan yang datang kepada saya di Jordan, menunjukkan betapa tabahnya dia, mengajar saya betapa dakwah dan tarbiyah bukan untuk mereka yang manja.
Sukar sebenarnya hendak bercerita berkenaan Ustaz.
Ia lebih kepada bahasa hati kepada hati, bagi siapa yang pernah menyaksikan Ustaz dengan mata kepala mereka sendiri.
Kini
Bila mendapat berita Ustaz diserang denggi, saya sebenarnya sudah tidak senang hati. Saban hari, saya mendengar keadaan ustaz semakin parah. Dari denggi, saya dapat tahu pula ustaz menerima beberapa penyakit lain.
Saban hari saya bertanya kepada Sahel: “Agak-agak Ustaz macam mana?”
Seakan-akan saya yang sakit. Saya sebenarnya hendak berada di sisinya, menghabiskan masa saya dengannya, berkongsi lagi beberapa perkara dengannya. Malah, beberapa hari lepas, semasa sedang belajar, saya seakan-akan terserap dalam dimensi lain dan terasa seperti sedang duduk di sebelah Ustaz Dahlan.
Mesej-mesej dan e-mail yang saya terima berkenaan kesakitannya membuatkan saya rasa perit.
Di dalam hati, saya sering berdoa agar ustaz tidak diambil pergi lagi.
Hari ini, saya membaca e-mail, bahawa keadaan Ustaz bertambah stabil. Saya rasa lega, namun saya tahu, tubuh ustaz sudah tua walaupun jiwanya sentiasa muda. Selepas diserang dugaan sebegini hebat, tubuh tuanya pasti sukar bertahan lama.
Post ini pun saya tulis sebagai dedikasi saya kepadanya. Saya rasa rindu dengan Ustaz Dahlan, dan masih ingin menghabiskan masa dengannya. Saya, masih ada benda yang perlu diambil daripada Ustaz Dahlan.
Dan saya tak rasa saya sahaja berperasaan demikian. Sesiapa sahaja yang rapat dengan Ustaz, yang pernah mendapat tarbiyah daripadanya, pasti merasa apa yang saya rasa.
Kami, punya hubungan hati yang kuat berpaksikan keimanan.
Saya yakin, perasaan saya ini turut dikongsi oleh ramai orang.
tetap berusaha mengambil mutiara daripadanya, walaupun Ustaz sudah hendak berlepas masa ni. Ini kali terakhir bersama Ustaz setakat ni. harap bukan yang terakhir selamanya.
tetap berusaha mengambil mutiara daripadanya, walaupun Ustaz sudah hendak berlepas masa ni. Ini kali terakhir bersama Ustaz setakat ni. harap bukan yang terakhir selamanya.
Penutup: Doakan dia
Saya harap, pembaca website Langit Ilahi akan berusaha bersama-sama saya mendoakan Ustaz Dahlan. Semoga dia sembuh lebih baik, dan Allah panjangkan umurnya.
Saya merayu kepada anda semua. Doakanlah kesihatannya.
Ustaz Dahlan, pada saya adalah antara manusia yang menyedarkan saya betapa luasnya kehidupan sebagai hamba Allah SWT.
Semoga Allah redha dengan Ustaz Dahlan, mengangkat segala masalahnya, memudahkan segala urusannya, menyembuhkan segala penyakitnya.
Wahai pembaca, katakanlah amin.
Sesungguhnya dia, murabbi yang saya amat kasih.


Semoga pengalaman beliau bersama Ustaz Dahlan dapat memberi i'tibar kepada hidup kita InsyaAllah

dmar

Murrabi Ummah

Assalamualaikum wt,
Wahai saudaraku dalam Islam,


Semoga kita sentiasa istiqamah diatas jalan Dakwah & Tarbiyah ini, InsyaAllah. Sebak rasa hati ini apabila membaca pengalaman BroHamzah bersama Ust Dahlan.Ustaz memang  seorang "Murabbi" yang hebat. Saya masih ingat di peringkat awal saya menerima tarbiyah beliau, setiap tamrin tahunan di Matri selalunya saya akan hadir.Teringat setiap kali disaat perpisahan dihujung tamrin, Kami akan berpelukan. Dia selalunya mendakap anak didiknya dengan kemas sekali.Saya masih ingat kalimah yang sering diucapkannya sambil berdakapan..." Ya akhie...tolong bantu ana , akhie...kita buat kerja Islam sama-sama....." sambil airmatanya berlinang membasahi  kelopak matanya...lembut...tapi serius. Mana mungkin saya lupa pesanan itu.Kalimah-kalimah itu sentiasa terpahat indah dihati saya sehingga kini.Tak pernah padam. "Ya Rabbi....kau istiqamahkan lah hati ini diatas jalanMu sehingga aku kembali kepadaMu.."


BroHamzah merupakan seorang pemuda yang gigih didalam melaksanakan amal Islami. Saya mengenali sejak kecil lagi, namun saya hanya lebih mengenalinya semasa beliau menjadi Kem Komanden di  Kem Jatidiri baru-baru ini...ziarahilah blog beliau kerana disana banyak mutiara indah yang boleh kita ambil sebagai bahan tarbiyah...Catatan dibawah hasil tulisan BroHamzah didalam blognya untuk tatapan kita semua.


Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain - Tidak kenal erti jemu Mendidik Ummah

Oleh : BroHamzah (http://brohamzah.blogspot.com)

Satu perasaan yang ingin saya kongsikan dengan kalian sidang pembaca.
Perasaan ini telah lama saya pendam dan hari ini saya ingin meluahkan melalui medium ini.
Rasa hati saya kepada seorang insan yang amat saya kagum dan kasih.

ZIARAH MURRABI
2 Minggu lepas, Alhamdulillah saya berkesempatan menziarahi seorang Murabbi dan juga Mudir sekolah saya dahulu iaitu Al-Fadhli Ustaz Dato’ Dahlan Bin Mohd Zain.(UDMZ) di HUKM. Sejak akhir-akhir ini, Ustaz selalu jatuh sakit dengan izin Allah SWT. Melihat keadaan yang uzur dan berbaring di katil wab membuatkan hati saya sayu. Semasa menziarahi Ustaz saya bersalaman dan memeluknya.


“ Ali ke ini?,” Soal Ustaz sambil memandang matanya kepada saya.


“ Ya Ustaz,” Jawab saya. Terharu juga, dalam keadaan begitu Ustaz masih meraikan pelawat-pelawat yang menziarahinya.

Semoga Allah SWT kuat dan tabahkan Ustaz. Semoga Ustaz cepat sembuh. Alhamdulillah, maklumat yang terkini yang saya perolehi Ustaz semakin baik kesihatan dan kini sudah pulang ke rumahnya di HUKM.

DAYA PENGARUHNYA

Saya mulai mengenali Ustaz semasa saya mulai menjejaki kaki ke sekolah lama saya iaitu MATRI. Sebuah sekolah yang menjadi tempat saya diproses untuk mengenali Allah SWT dan dididik supaya boleh bermanfaat kepada masyarakat pada suatu masa nanti. UDMZ adalah pengasas MATRI dan sejak daripada mula ditubuhkan sehingga kini, Ustaz adalah Mudirnya.

UDMZ yang saya kenal adalah seorang pendidik yang berjiwa besar. Kerendahan hatinya membuatkan saya sangat menghormatinya. Satu perkara yang menghairankan saya semasa tingkatan satu dahulu, Ustaz tidak suka pelajar mengucup tangannya apabila bersalaman dengannya. Pelik juga. Ini lambang kerendahan hati dan jiwa Ustaz. Ustaz tidak sukakan penghormatan yang berlebihan kepadanya.

PERISTIWA TINGKATAN 2

Saya masih ingat satu peristiwa semasa tingkatan 2. Suatu hari Ustaz Dahlan sakit kerana sakit goutnya dan ketika itu Ustaz tetap datang ke Sekolah seperti biasa. Dengan bertemankan tongkat Ustaz berjalan menuju ke Pejabat seperti biasa. Pagi itu Ustaz datang awal seperti biasa. Di kalangan guru-guru, Ustaz adalah orang yang awal akan hadir ke sekolah sekiranya tiada keuzuran. Inilah Qudwah yang sangat menyentuh hati.

Saya melihat dengan perasaan yang sangat terharu dan sebak. Ketika itu, ada seorang senior saya daripada Marhalah Khassah melihat Ustaz berjalan berteman tongkat daripada Mussola MATRI melalui jendela. Air matanya mengalir dan dia begitu sedih melihat keadaan Ustaz begitu. Saya bertanya kepadanya.

“ Kenapa abang sedih?,”Soal saya


“ Ana terharu melihat pengorbanan Ustaz mendidik kita. Tanpa jemu dan tidak pernah berputus asa. Enta lihat lah sendiri. Walapun dalam keadaan begitu, Ustaz masih gagahkan diri ke sekolah. Apa erti pengorbanan ini untuk kita semua,” katanya sambil melihat kepada Ustaz.


“ Ustaz mentarbiyah kita melalui qudwah yang hidup. Bagi ana inilah Murrabbi Ummah yang jarang kita temui di mana-mana.,” Sambungnya lagi

Saya tersentak. Kata-kata yang simple tetapi membuatkan saya berfikir dan tersentuh. Hari itu, barulah saya benar-benar rasa bersyukur kerana dapat mengenali seorang insan yang berhati mulia ini. Jiwanya penuh dengan cita-cita yang besar. Mendidik Ummah dan tidak pernah kenal kejemuan dalam berbakti kepada masyarakat.


KERENDAHAN HATI
Saya tahu Ustaz tidak suka dan tidak gemar dirinya diangkat dan dijulang-julang di tengah-tengah kemahsyuran. Kerendahan hati dan jiwanya membuatkan dirinya tidak perlu dihebah-hebahkan kepada sesiapa pun. Tetapi, keperibadian dan contoh yang ditunjukan Ustaz sentiasa hidup dan “popular” di hati anak didiknya dan dijiwa mereka-mereka yang mengenalinya.

Semoga Usaha dakwah yang dilakukan oleh Ustaz ini bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangannya diredhai oleh Allah SWT.


Saya teringat satu kata-kata Ustaz :

“ Kita berjaya bukannya kerana bilangan ahli (pengikut) yang ramai dan kita gagal bukan kerana bilangan ahli ( pengikut) yang sedikit. Yang dinilai oleh Allah SWT adalah kesabaran dan ketabahan kita dalam mengharungi semua cabaran dalam medan dan jalan ini.” – (UDMZ)

Majlis Penutup Kem Jatidiri......Kehadiran Ulamak Palestin Menyuntik Semangat Baru


Assalamualaikum sahabat yang dikasihi.Semoga Allah sentiasa meneguhkan hati kita untuk berada didalam suasana beriman. Dua hari lepas (7 dis 2010,Ahad) diadakan majlis penutup Kem Jatidiri dan Kesukarelawan di KTD.Kem ini adal ah anjuran HALUAN Malaysia dengan kerjasama JAKIM dan KTD (Kolej Teknologi Darulnaim) Kota Bharu.Program ini telah berlangsung dari 22 hb Dis 2009 - 7 hb Feb 2010 khas untuk pelajar lepasan SPM. Seramai 191 peserta telah dipilih untuk menyertai kem ini.Memang banyak peristiwa-peristiwa indah yang tidak mampu di tulis didalam blog ini.


(Dari kiri : Prof Madya Dr Abdullah Sudin ,Sheikh Ziad SM AL Qishawi, Sheikh Husein Khalil Saqar dan Penterjemah)

    Sesuatu yang menarik hasil dari penyusunan Allah adalah kehadiran dua orang ulamak palestin bersama-sama di majlis penutup Kem Jatidiri ini. Peristiwa ini berlaku diluar perancangan urusetia. Pelawat dari Palestin telah dibawa ke Malaysia oleh Haluan Palestin .Mereka ialah Syeikh Husain Khalil Saqar Al Awawidah , Penasihat Kanan Ikatan Ulamak Palestin dan Sheikh Ziad SM  Al Qishawi , Koordinator Bantuan Kemanusiaan Rabithah Ulama' Palestin.Kedatangan mereka adalah untuk kutipan dana bantuan bagi membantu saudara-saudara Islam di Palestin khususnya di semenanjung Ghaza.Walaupun program mereka agak padat , namun mereka masih mampu duduk sebentar bersama-sama golongan remaja peserta kem ini.Peserta Kem Jatidiri juga merasa sangat bertuah kepada dapat bersama-sama dengan pejuang yang datang dari Palestin. Sepanjang kem, nasyid "palestina tercinta" memang sangat popular dialunkan beramai-ramai. Sebelum ceramah Palestin dimulakan, semua peserta berdiri , bersama-sama mengalunkan nasyid "Palestina Tercinta"penuh semangat .Palestina Tercinta.(sila klik disini)
Antara senikata yang menarik  adalah:
 
      Untukmu jiwa-jiwa kami
      Untukmu darah-darah kami
      Untukmu jiwa dan darah kami
       Wahai Al Aqsa tercinta

      Kami akan berjuang
      Demi kebangkitan Islam
      Kami rela berkorban
      Demi Islam yang mulia

      Untukmu Palestina tercinta
      Kami penuhi panggilanMu
      Untukmu AlAqsa yang mulia
      Kami kan selalu bersamaMu

      Ya Rabbi, Izinkanlah kami
       Berjihad di PalestinaMu
      Ya Allah , masukkan lah kami
       Sebagai syuhadaMu




Ceramah oleh Sheikh Husein Khalil Saqar hanya mengambil masa kira-kira setengah jam namun masej yang dibawa sangat penting.Sheikh Husein pernah beberapa kali merengkok didalam penjara zionis. Beliau menerima siksaan yang sangat teruk sehingga matanya menjadi buta. Walaupun fizikalnya kelihatan lemah, matanya telah pun buta, namun roh JIHAD dijiwanya tetap subur dan segar, tanpa mengenal penat dan lelah.Program beliau di Malaysia sangatlah padat, masa rehatpun sangatlah terbatas. Sehari sebelum sampai ke Kelantan, beliau telah memberikan ceramah utama di majlis Perhimpunan Perdana Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan ,Jalan Duta.

 Diantara ucapan beliau, beliau merasa terharu dengan sokongan ummat Islam di Malaysia bagi membantu perjuangan Palestin dan untuk membebaskan Masjidil Aqsa. Perjuangan ini merupakan perjuangan ummat Islam diseluruh dunia."Wahai saudaraku ,Kami (orang Palestin) telah mengorbankan beribu orang syuhada', tanah kami dirampas, rumah kami dirobohkan oleh tentera zionis, namun apa yang kamu telah berikan untuk membantu perjuangan Islam.Kita akan ditanya di hadapan Allah. Adakah kita telah membantu perjuangan ini? Kita boleh membantu melalui hartabenda, melalui sokongan dan melalui doa-doa saudara. Hari ini aku  telah menyampaikan pesanan ini kepada kamu"

" Perjuangan ini bukan sahaja dipelopori oleh golongan lelaki,namun tidak ketinggalan golongan wanita. Ramai wanita-wanita  kami yang sanggup meledakkan diri mereka dengan bom, menyebabkan ramai tentera zionis yang terbunuh, ibu-ibu yang telah menginfakkan anak-anak mereka sebagai syuhada, semua ini dilakukan demi memperjuangan Islam"

Disamping itu, kutipan tabung Palestin pada hari tersebut telah berjaya mengumpulkan  sebanyak RM 4,717, USD 10 dan seutas gelang emas.Semoga Allah membalas setimpal dengan pengorbanan yang telah diberikan.

Wahai saudaraku, perjuangan Islam memerlukan pengorbanan dan jihad yang berterusan.Dalam masa yang sama pembinaan diri dan keimanan perlu sentiasa dipertingkatkan .Satu lagi perkara yang penting adalah sifat "istiqamah" dalam amal Islami. Ameen,

dmar

JALAN-JALAN CARI PENGALAMAN TARBAWI...

  Cuti panjang puteri saya kali ini banyak membawa kenangan manis.Pada 20 hb Jan 2010 semua rakan-rakan sefikrah yang bercuti balik ke Malaysia datang bertandang ke Kota Bharu. Tiga orang dari Johor, seorang dari perak dan dua orang lagi memang berasal dari kelantan.Lima orang siswi belajar di Makassar dan seorang lagi SISWI dari UIAM yang bercuti.Saya dan isteri pula berjaya menjadi  "DRIVER KEHORMAT" kepada mereka. Apa salahnya menjadi driver kalau ia dapat menjana menjadi pahala InsyaAllah.Dan  saya rasa bertuah memiliki seorang isteri yang memahami tanggungjawab seorang muslim.

 Kalau remaja lain datang ke kelantan , kebanyakannya masa dihabiskan untuk melawat tempat-tempat yang indah dan membeli-belah.Ini amat berlainan dengan mereka. Kedatangan mereka bukan untuk bersantai. Kedatangan mereka penuh dengan harapan untuk menimba pengalaman tarbiyah sebanyak mungkin dari generasi tua.  Kedatangan mereka adalah untuk memberi khidmat kepada Islam. Mereka menawarkan diri untuk menjadi fasilitator Kem Jatidiri di pantai Melawi anjuran Haluan Malaysia selama 2 hari. Kem Jatidiri ini dapat mengumpulkan kira-kira 180 remaja (putera puteri) lepasan SPM dari seluruh Malaysia dan dijalankan selama enam minggu.Hasrat kita adalah untuk membina generasi remaja muslim yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada orang lain.


Kira-kira jam 3.30 petang (20/01/2010) saya telah membawa mereka menziarahi seorang aktivis Haluan iaitu Saudara Rosdi Baharom. Saudara Rosdi merupakan seorang yang cukup berpengalaman terutama di bidang motivasi remaja. Pertemuan selama sejam ini turut disertai oleh isteri beliau. Banyak maklumat dan pengalaman yang dapat dikongsikan bersama.Berbincangan duahala yang dijalankan, sangat memberi makna kepada siswi kita terutama untuk berdakwah dikampus.

   Pada sebelah malamnya kami menziarahi Ketua Haluanita Kelantan, Dr Salwana binti Mahyudin (Gambar diatas, no 2 dari kanan dibarisan belakang). Dr Salwana adalah merupakan Pakar Sakit Puan dan suami beliau ialah Dr Mansor .Dr Mansor pula merupakan seorang Pakar Jantung (Cardiologist). Kedua-duanya bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.Kami disambut dengan penuh kemesraan.Walaupun mereka sering sebuk dengan tugas harian, tapi masih mampu menjadi penggerak kepada aktiviti Haluan khususnya di Kelantan. Disini siswi yang datang diberi pendedahan bagaimana mengimbangi tugas sebagai seorang doktor dengan tugas sebagai seorang murobbiyah, sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak beliau.Kesebukan tugas bukanlah merupakan alasan yang ampuh untuk kita meninggalkan kerja dakwah kita. Sebaliknya profesionalismi yang kita miliki merupakan modal yang perlu kita memenafaatkan sebaik mungkin untuk kita jadikan bekalan kita diakhirat nanti,InsyaAllah.

  Jam 10.00 malam barulah kami beransur pulang.Mulai keesokannya mereka akan berkampung di Chalet Sri Pantai (Melawi) sebagai tenaga fasilitator.Dari wajah mereka, terukir senyuman dan kepuasan.Keletihan tapi penuh kenikmatan.

dmar

About Me

My Photo
Mohd Ariff B. Abd Rashid
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Saya seorang GP, membuka klinik swasta (Klinik Ehsan) di Ketereh,Kota Bharu Kelantan
View my complete profile

Followers

Waktu

Mutiara Kata

"Kalian adalah umat yang beruntung kerana menjadi umat yang MEMILIH untuk bangkit berijhad, bukan umat yang TERPAKSA bangkit untuk berjihad. Kalian menjadi tangan yang di atas (memberi) bukan tangan yang dibawah (terpaksa menerima). Ganjaran di sisi Allah, sama seperti seolah-olah kalian sedang berjihad dihadapan Baitul Muqadis... Andainya Kalian mati tidak mustahil Allah masukkan Kalian bersama para syuhada..."
Sheikh Abu Bakar al Awawidah (Pejuang Palestin) Ketika Kunjungan Beliau Ke Malaysia Anjuran HALUANPalestin

Popular Posts

Haluan Tarbawi

There was an error in this gadget

Pesanan

Haluan Malaysia

Haluan Malaysia
Berakhlak, Mendidik & Berbakti

Tetamu

Featured Posts

...