Malam ini saya membuka ruangan facebook. Saya cukup tertarik dengan dengan catatan sahabat saya Sdr Rosdi Baharom didalam facebooknya. Beliau merupakan seorang yang sangat berpengalaman (lebih 20 tahun) didalam bidang motivasi remaja dan kekeluargaan. Sehingga kini beliau masih aktif memberi ceramah motivasi di seluruh negara. Kini beliau bertugas sebagai Pegawai HEP Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kelantan.Semoga kita dapat kongsi bersama hasil catatan beliau.
Saudara Rosdi Baharom
Setiap diri kita berhajat untuk mendapat kebahagiaan. Malah kita diciptakan oleh Allah SWT untuk menikmati kebahagiaan. Kita dituntut oleh Allah SWT supaya mengejar kebahagiaan. Memperoleh kebahagiaan adalah misi hidup kita. Penderitaan dan kesiksaan yang paling berat adalah terhalang dari mendapat kebahagiaan ini. Justeru, kita perlu pastikan bahawa aktiviti-aktiviti kehidupan kita mestilah berkaitan dengan kebahagiaan dan menuju kebahagiaan ini.
Salah satu perkara yang membahagiakan kita di dunia ini adalah dapat ‘balik kampung’. Kampung ini mungkin kampung ibu bapa atau nenek moyang kita.
Apabila kita meninggalkan kampung ini dengan sebab-sebab tertentu, kita sentiasa ingin kembali ke tempat asal ini kerana kita merasakan kebahagiaan berada di kampung dan akan berusaha untuk balik semula ke kampung. Setiap peluang akan digunakan untuk balik kampung. Kecintaan dan kerinduan kepada kampung ini menyebabkan kita selalu membuat persiapan agar usaha balik kampung ini tidak tergendala. Alangkah sedihnya kawan-kawan kita, disebabkan faktor-faktor tertentu tidak dapat balik kampung.
Anak-anak yang dimuliakan Allah SWT.
Kampung kita yang sebenarnya adalah SYURGA. Syurga adalah tempat asal kita dan syurga dicipta oleh Allah SWT sebagai tempat mendapat kebahagiaan yang hakiki. Segala kebahagiaan yang dinikmati oleh manusia tidak akan bermakna sekiranya kita tidak mendapat kebahagiaan di syurga ini.
Kita mesti berusaha sedaya upaya. Memerah segala keringat dan membelanja apa yang kita miliki untuk sampai di sana. Kenapa? Ini adalah kerana segala bentuk kebahagiaan tidak akan ada ertinya kalau kita tidak menjejakkan kaki di kampung yang dirindui. Di kampung inilah kebahagiaan yang sebenar. Di kampung inilah akan dinikmati segala kebahagiaan dan ketenangan.
Kita telah dipisahkan dari kampung kita ini tetapi Allah SWT berjanji bahawa Allah SWT akan membenarkan kita kembali dengan syarat. Apakah syaratnya? Kita mestilah mentaati Allah SWT dalam segala perkara. Syarat ini kelihatan mudah tetapi sebenarnya harga balik kampung ini sangat mahal. Hanya mereka yang dikurniakan himmah yang tinggi dan iradah yang kuat sahaja akan melangkah masuk ke kampung ini nanti.
Kenapa kita mesti berusaha untuk sampai ke kampung ini. Ini adalah kerana di sana sahajalah kebahagiaan. Tempat alternatif bagi kampung ini adalah keperitan dan kesakitan yang tidak terhingga. Tempatnya adalah neraka. Kita perlu berusaha semaksimumnya untuk mengelakkan diri dari berakhir di tempat ini. Di sinilah kemuncak kesakitan dan siksaan. Tiada yang sama dengan neraka ini. Sebagaimana yang dicatatkan oleh Ibn Qayyim al Jauziyah, "Allah menjadikan api neraka untuk mencairkan hati yang keras semasa di dunia"
Justeru, anak-anak yang dimuliakan Allah dan dikasihi sekalian, marilah mula dari sekarang kita membuat persiapan dan memulakan perjalanan yang panjang dan sukar untuk balik kampung. Inilah perjalanan yang paling membahagiakan walaupun sukar kerana jika kita tidak berakhir di kampung ini, kita akan sengsara selama-lamanya.
Semoga Allah SWT menerima amalan kita di sepanjang Ramadhan dan mengurniakan kita taqwa. Semoga meningkat iman kita dan kesensitifan kita terhadap kehendak Allah SWT dalam hidup kita.
Maafkan ana yang sangat mengharapkan keampunan Allah dan kemaafan kalian. Kepada anak-anak abah yang sempat membaca catatan ini, abah memohon maaf dan akan berusaha untuk menjadi abah yang lebih baik di masa akan datang. Abah mencintai anak-anak abah sepenuh hati dan sangat berhajat untuk membawa anak-anak abah balik kampung. Abah tidak akan bahagia sekiranya ada di kalangan anak abah yang tercicir dan tak dapat balik kampung.
“Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasanya ketika saling berjumpa di hari Ied mereka mengucapkan: Taqabbalallahu Minna Wa Minka (Semoga Allah menerima amal ibadah saya dan amal ibadah Anda)”
Atsar ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Al Mughni (3/294), dishahihkan oleh Al Albani dalam Tamamul Minnah (354). Oleh karena itu, boleh mengamalkan ucapan ini, asalkan tidak diyakini sebagai hadits Nabi shallallahu’alaihi wa sallam.
0 comments:
Post a Comment