Catatan Pengalaman di Padang
Hari pertama 14/10/09, kami pasukan kedua Team Misi Kemanusiaan Padang terus dibawa ke sebuah desa di kawasan pendalaman iaitu Desa Batu Mengaum. Kehadiran kami seakan-akan memang dinanti-nantikan oleh penduduk disitu. Wajah mereka kelihatan sugul dan muram terutama dikalangan org dewasa. Rumah mereka rosak atau roboh. Tiada yang selamat. Mereka hanya tinggal di dalam khemah-khemah, ada juga yang terpaksa berteduh dibawah runtuhan atap zink. Keadaan yang menjadi bertambah sulit buat mereka apabila hujan turun. Mereka hanya mengisi perut dengan mee segera, kerana ketiadaan wang untuk membeli beras. Melihatkan kanak-kanak disana, apalah yang mereka tahu tentang sebuah kesengsaraan dari tragedi itu, mereka tetap ceria dan gembira.
Klinik bergerak Haluan dibuka dari jam 3.00 ptg dan berakhir pada jam 10.00 malam. Jumlah pesakit yang dirawati adalah 150 orang. Sememangnya team kami berazam untuk memberi yang terbaik kepada penduduk kampung. Walaupun agak keletihan dengan jumlah pesakit yang ramai, kami sentiasa ceria melayan kerenah mereka dan kanak-kanak.
Situasi disana benar-benar mentarbiyah kami tentang hakikat sabar dalam menghadapi karenah mereka. Mana tidaknya, selepas ubat diberi, mereka meminta pula ubat untuk ibu dirumah, selesai itu, mereka minta pula ubat cacing untuk anak. Pelbagai permintaan dan ragam. Terasa memang geram…tetapi bila diingatkan kembali kita membawa risalah dakwah, ana tukarkan mind-setting dari perasaan geram kepada perasaan kasih sayang dan simpati. Bila ana berikan semua ubat yang diminta ana pun tanya dia “ Macam mana ibu..sudah puas hati? “ Dia pun menjawab “Sangat puas hati pak..terima kasih pak…” dia terus berlalu dari situ sambil tersenyum puas.
Misi kali ini diketuai oleh Akhie Zailani. Beliau sungguh cekap dalam menguruskan perjalanan klinik serta sangat berpengalaman di dalam pengurusan misi kemanusian. Beliau pernah menyertai misi kemanusiaan Haluan ke Acheh dan Jogjakarta, sementara akhie Amri pernah mengikuti misi kemanusiaan Haluan di Pakistan, Akhie Amri dan Akhie Azmi menjawat jawatan sebagai dispenser sementara akhie Hafiz (Haluansiswa) sibuk bertugas sebagai urugambar kami.
Menjelang maghrib, klinik ditutup sebentar. Kami dipelawa untuk menunaikan solat maghrib dirumah seorang penduduk berhampiran dengan klinik. Nasibnya agak baik kerana rumahnya hanya mengalami beberapa keretakan kecil. Ana kagum cara dia melayan kami. Dari percakapannya bolehlah dibuat kesimpulan yang dia amat gembira dengan rawatan dari kami (orang Malaysia). Klinik kemudiannya diteruskan sehingga jam 10 malam. Seorang penduduk wanita datang mendekati kami. Dia merupakan antara yang aktif menguruskan penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan. Dia kata “Kami sudah lama ngak senyum pak…tapi hari ini kami boleh tersenyum…” Dari raut wajahnya memang dia nampak ceria. Ana bertanya kembali kenapa kata begitu. Dia jawab “ Sebab semua bapak disini baik-baik dan selalu tersenyum…kami senang sekali.” Terlintas difikiran, rupa-rupanya senyuman kita pun boleh menghilangkan stress dan membuat orang lain tersenyum..
Sebelum berangkat pulang, seorang kanak-kanak menyelinap masuk menaiki kenderaan kami. Dia tidak mahu turun walau beberapa kali telah dipujuk. Semua orang ketawa melihat telatah nya. Kemudian kenderaan kami bergerak. Terasa sebak didada…kita kembali menuju kemewahan hidup. Sedangkan mereka terus tinggal diselimuti penderitaan. Rumah tiada, makan pun susah. Siapalah yang sudi membantu mereka. Kita hanya bersimpati, tapi pernahkah kita menghulurkan sedikit wang untuk membantu mereka, melihat anak-anak menangis. hati terasa sayu....
Kami memang keletihan, keringat pun masih belum kering, perut pun dah terasa lapar. Dalam hati kami ada kepuasan, nikmatnya berada dijalan Allah. Perjalanan yang penuh dengan tarbiyah, makna sebuah kasih sayang, pengorbanan dan kesabaran dalam menempuh ujian.Teringatakan maksud firman Allah "Berangkatlah kamu sama ada didalam keadaan senang atau susah dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu dijalan Allah.." Ana terlalu bersyukur kerana terpilih mengikuti misi kali ini.Sebelum datang ke Pariaman ana selalu berdoa kepada Allah agar dipilih mengikuti misi ini. Syukur kepada Allah hajat ana termakbul.Ameen.
Catatan Perjalanan,
Dr. Mohd Ariff Bin Abdul Rasyid
Misi-2 Haluan Ke Padang, Indonesia
Misi Kemanusiaan Padang Team ke 2
Posted by
Mohd Ariff B. Abd Rashid
at
Thursday, November 12, 2009
0 comments:
Post a Comment