BAGAIMANA KASIHSAYANG KITA

Assalamualaikum wt

Semoga sahabat yang dikasihi berada didalam keadaan yang di redhai Allah jua.Maaf , dah lama tak update blog ini kerana kesebukan.Dibawah ini saya ingin kongsikan pengalaman dan rasa hati puteri tunggal Ust Dahlan yang kita kasihi http://ummihalimaton.blogspot.com . Sentuhan perasaan betapa pentingnya kita berbakti kepada kedua ibubapa.


Kasih ibupada pada anak-anak sungguh besar. Bagaimana kasih anak-anak pada ibubapa? Ramai anak-anak melafazkan di mulut mereka... tetapi adakah apa yang kita lakukan untuk ibubapa kita cukup. Semakin kita umur kita bertambah, semakin  banyak tanggungjawab kita. Semakin matang kita, semakin jauh jarak kita dengan ibubapa kita. Kita akan belajar jauh dari kampung, kita akan mempunyai tanggungjawab sebagai pelajar kemudian bila dah berkeluarga, kita sibuk dengan suami/isteri dan anak-anak. Makin lama kita bekerja, kita bukan semakin senang tetapi semakin kita sibuk. Semakin hari, kita semakin kurang bersama ibubapa kita..masa berlalu pantas.Masa ibubapa kita juga makin suntuk...mereka makin tua dan uzur.

Jika 20 tahun dulu, kulihat abah seorang yang cukup segak..cergas dan banyak menghabiskan masa dengan amanah yang digalasnya. Bila kulihat sekarang, abah dah semakin uzur. Badan abah semakin kurus, sekarang abah belum dapat berjalan tanpa tongkat. Malah... abah terpaksa guna tongkat 4 kaki sebab kaki abah tak kuat..kalau guna tongkat biasa , abah nak jatuh..abah cakap, rasa paha dan lutut abah lemah nak melangkah. Menitis airmata ini melihat keadaan abah. Berbisik dalam diri, mampukah kuberbakti sebaik mungkin menjaga abah bersama anak-anak yang lain sebaik abah menjaga dan mendidikku sejak dilahirkan. Tadi baru kubersembang dengan Akram, Ayan isteri Akram dan suamiku, mengimbau kisah-kisah dahulu. Abah tidak pernah marah padaku masa dulu-dulu..kutanya Akram pasal apa ye abah tak pernah marah kakak, Akram dan Ali abah marah gak dulu-dulu. Akram kata, "macamana nak marah..kakak kan anak perempuan sorang". Abahlah yang menyedarkan diriku tentang nikmat Islam yang hakiki.

Kurasa terkilan juga tak lama jaga ummi masa ummi sakit. Arwah ummi jarang sakit teruk. Waktu arwah ummi sakit, kumasih dalam pantang lepas bersalin. Akramlah yang bertuah sebab dapat jaga ummi banyak hari di wad. Kumasih ingat, masa arwah ummi sakit..di mulut ummi asyik sebut dan tanya, macamana abah? abah makan apa?. Walaupun tengah sakit, masih bimbangkan makan minum abah.

Bagi yang sudi membaca dan menatap coretanku ini, rebutlah peluang yang ada.Kalau masih punyai ibu dan bapa, jagalah mereka sebaik mungkin..luangkanlah masa bersama mereka. Telefon dan tanyalah khabar selalu kalau berjauhan. Tanya dalam diri, pernahkah kita hadiahkan sesuatu pada mereka, masakkan makanan kegemaran mereka, urut badan mereka yang semakin tua, suapkan nasi, sikat rambut mereka, basuh baju mereka, doakan kesejahteraan mereka, dan tidak melukakan hati mereka. Bila kita kehilangan mereka, barulah kita rasa terkilan banyak yang tidak kita lakukan untuk mereka. Peluang itu tiada kali kedua.Bila peluang itu dah tiada, kita akan terkilan seumur hidup. Ibubapa tiada dua atau tiga. Merekalah ibubapa satu-satunya dunia akhirat.Percayalah...masa yang kita luangkan untuk ibubapa kita tidak sia-sia. Setiap saat kita berbakti pada mereka dihitung pahala.Walaupun sebukit masa dan tenaga kita luangkaan untuk mereka tidak setimpal masa, tenaga dan kasihsayang mereka tumpahkan pada kita sejak dalam kandungan hingga dewasa.

 Ibubapa selalunya tahu dan arif makanan kegemaran anak..bila pulang ke kampung..mak kita akan masakkan makanan kegemaran kita. Kita perlu tahu makanan kegemaran ibubapa kita, sekali sekala masaklah untuk mereka walaupun anak lelaki. Ibubapa kita pasti terharu dan gembira jika kita hadiahkan sesuatu walaupun tidak mahal tanda mereka di hati kita. Kuingat lagi, suatu hari abah nak pergi makan dalam majlis diraja Perlis..kena pakai baju kod penuh. Abah pun cari baju kod sepasang.. dah nampak lama..malah dah terkoyak tepi leher baju. Bila kulihat baju tu..berbisik di hati, kesian abah. Esok kubawa abah ke kedai jahit. Minta abah pilih kain...jelas terserlah di wajah abah..gembira. Bila baju tu dah siap lepas dua minggu, abah sangkut baju tu tepi katil, abah pakai dan tunjukkan padaku. Walaupun harganya tak mahal tapi bila hadiah tu dari anak.. mereka akan gembira. Terserlah di wajah abah kegembiraan itu.

Banyak yang masih perlu kufahami dan kongsi dengan abah. Baru-baru ini baru kutahu dari abah, abah belum pernah ke Cameron Highland. Baru-baru ini, kuterpaksa jadi pengiring student ke Cameron Highland..kebetulan waktu tu Akram ada Seminar. Jadi abah tak dak yang teman. Jadi kutanya abah, " Bah nak ikut adik ke Cameron Highland dak? Adik kena bawa student ke sana." . Abah kata, "Boleh jugak, abah pun tak pernah pi lagi sana.". Ya Allah, kasihan abah... dia belum pergi ke sana sedangkan anaknya ini dah lebih dari 5 kali pergi. Malu sungguh rasa hati. Tapi akhirnya program tu cancel. Kujanji dalam diri, lepas abah sihat nanti...kami akan bawa abah berehat kat sana. Moga kami ada ruang untuk tunaikan janji itu..dan moga abah cepat sembuh.

{ Jom.....kita sama-sama muhasabah diri..berbakti semaksima mungkin kepada kedua ibubapa kita selagi mereka masih hidup}

dmar

Misi Kemanusiaan Padang ke 2...Part 3 (Kenangan yang indah)

Assalamualaikum wt,


Walaupun telah sebulan saya meninggalkan bumi Padang/Pariaman, namun kenangan semasa berbakti disana masih segar dalam ingatan.Seminggu disana, kami menginap di rumah Pak Ridwan {Ketua DPD (Dewan Perwakilan Daerah)Pariaman}.Sungguh selesa tinggal dirumah beliau.Pak Ridwan hanya menyewa sebuah rumah teres yang cukup sederhana."Selesa" bukan bermakna tinggal seperti dihotel yang berhawa dingin, bilik air yang cantik dan sebagainya.Tetapi yang lebih penting adalah ketenangan jiwa.Misi kami  adalah misi "Tarbawi". Memang kita sangat menginginkan tempat tinggal yang cukup sederhana, bukan yang mewah. Kami mahu merasai kesusahan dan keperitan orang disini.Suasana ini jauh berbeza kalau kita bandingkan dengan kepimpinan masyarakat kita di Malaysia.

Usia Pak Ridwan baru menjangkau 31 tahun,beliau sedang melanjutkan pelajaran di UKM dibidang pengajian Islam peringkat "master". Tetapi terpaksa menangguhkan pengajian tersebut kerana tenaga beliau di perlukan di Pariaman. Beliau seorang yang mudah mesra. Kali pertama saya bertemu beliau, kehangatan ukhuwah telah dapat dirasai. Mungkin itulah firasat yang Allah anugrahkan keatas  mereka yang berada diatas jalanNya.Cara hidup beliau cukup sederhana dan kaya dengan adap-adap Islam. Puteri sulong beliau dalam usia sekitar 4 -5 tahun petah berkata-kata dan telah terdidik dengan pakaian menutup aurat.(Gambar sebelah)
   Beliau seorang yang sangat sebuk dengan urusan  jemaah, apatah lagi untuk menguruskan berbagai-bagai bantuan kepada mangsa bencana gempa.Namun beliau bijak mengurus waktu. Masih mampu melayan kami sebagai tetamu dengan baik sekali. Masih mampu menyediakan sarapan pagi dan makan  malam untuk kami. Di hari terakhir kami di Pariaman, seharian Pak Ridwan bersama kami. Kami dibawa ke tempat yang teruk dilanda gempabumi. Rumah yang ranap, jalanraya yang rosak, tanah runtuh yang dahsyat. Disana kelihatan ramai kanak-kanak yang membawa kotak-kotak memohon bantuan. Rumah tempat mereka berlindung musnah. Sedangkan perut mereka kosong kelaparan untuk sesuap nasi. Kehidupan mereka selama ini pun diselaputi kemiskinan.


Bila kenderaan kami berjalan perlahan terutama dikawasan jalannya rosak, kanak-kanak ini  datang berlari menuju kami memohon bantuan "Pak...bantu kami pak...kami lapar pak...bantu pak....." Itulah ucapan yang sering mereka lafazkan. Bila kita hulurkan sedikit wang, mereka senyum keriangan "Terimakasih Pak..terimakasih Pak..." Sayu hati ini....hanya Allah yang tahu.Kami menghulurkan bantuan semampu kami. Sepanjang perjalanan itu Pak Ridwan menerangkan kepada kami tentang tempat-tempat yang kami lawati .Saya terbayang kita yang berada di Malaysia, makan cukup mewah. Tapi mereka merayu untuk sesuap nasi. Di wajah mereka terbayang keperitan, penderitaan, kepenatan dan kesengsaraan. Betapa perlunya kita bersyukur kepada Allah , nikmatNya yang melimpah ruah kepada kita. Sebagai tanda syukur kepada Allah seharusnya kita semakin taat kepada perintah Allah. Menjunjung tinggi perintahNya. Bekerja untuk menyeru manusia kepada Deen Allah. Sanggup berkorban harta dan jiwa keranaNya,InsyaAllah. Semua peristiwa itu cukup memberi kesan dihati saya. Saya benar-benar bersyukur, kerana Allah memilih saya untuk menyerta misi Kemanusiaan Haluan Malaysia ini.

     Disebelah petang sebelum berangkat pulang ke tanahair, kami tidak menghabiskan masa untuk "shopping"

sebaliknya kami dari HALUAN Malaysia  terus berbakti ,memberi khidmat  ke sebuah perkampungan yang agak jauh dikawasan pendalaman. Kali ini Pak Ridwan sendiri yang memandu kenderaan membawa kami kesana.Saya mengkagumi syahsiah beliau yang cukup tinggi.Walaupun beliau seorang pemimpin masyarakat yang penting di Pariaman, tapi masih mampu bersama-sama kami  melihat sendiri penderitaan rakyat. (Sila lihat gambar di atas...Pak Ridwan  disebelah kiri sekali berbaju hitam dibarisan belakang).Di kampung ini kami telah membuka klinik bergerak dari 4.00 ptg - 7.00 malam, kami telah merawat kira-kira 70 orang pesakit.Walaupun cukup sebuk,tapi kami tetap merawat mereka dengan kasihsayang.Misi kami adalah untuk membawa mesej Islam.Kami cuba memberikan layanan dan rawatan yang  sebaik mungkin. Sesuai dengan motto HALUAN iaitu "Berakhlak ,Mendidik dan Berbakti"


Tidak hairanlah, dimana sana kami pergi,penduduk tempatan sangat senang bersama kami . (Gambar sebelah kiri adalah  rumah seorang penduduk tempatan yang begitu mesra melayan kami,kami tumpang solat maghrib disini. Peristiwa ini dirakamkan pada hari pertama di Pariaman)

Selepas itu, kami telah dibawa ke Padang untuk membeli sedikit cenderahati di kedai ikhwah  . Yang mengkagumkan saya di kedai itu, kebanyakan buku-bukunya adalah hasil tulisan ikhwah  Indonesia. Saya berkesempatan membeli beberapa buah buku dan pakaian sebagai tanda kenangan .Memang kami keletihan, tapi dihati penuh rasa kepuasan. Dapat berbakti sehingga di hari terakhir.Niat kami pun amat jelas, kami kesini bukan untuk bersantai , bukan untuk melancung, bukan untuk menjadi wartawan berita, tapi kami kesini untuk berbakti. Malam itu Pak Ridwan membawa kami makan malam. Dalam perjalanan pulang, ramai dari rakan-rakan saya yang telah terlena keletihan.

Saya masih berbual dengan Pak Ridwan.Beliau memasangkan beberapa buah nasyid yang bersemangat untuk menghilangkan rasa mengantuk. Semua nasyidnya cukup menarik, diantara nasyid  tersebut , yang menarik perhatian saya adalah sebuah nasyid berjodol JEJAK. Lantaran itu saya abadikan nasyid itu sebagai nasyid latar untuk blog saya ini. Kepada Pak Ridwan sekeluarga dan Ikhwah yang telah membantu kami dari HALUAN Malaysia, saya  rakamkan jutaan terimakasih diatas layanan yang cukup baik kepada kami.HanyaAllah sahajalah yang membalasnya Semoga ikatan ukhuwah fillah yang terbina akan berkekalan selama-lamanya.

{Gambar Kenangan bersama relawan Indonesia dari sebelah kanan, Pak Ridwan , Dr Arif, Pak Naufal, Hafiz (Haluansiswa) ,Pak Yuli, Pak Ismail, Dr Shamsul (Haluan)} Untuk makluman , rumah Pak Naufal, Pak Yuli dan Pak Ismail turut musnah teruk akibat gempabumi, namun mereka masih lagi  mampu menjadi relawan untuk membantu mangsa gempabumi di Daerah Pariaman.Inilah hasil proses tarbiyah yang mereka lalui, "Nafi'un li Ghairihi" (bermenafaat kepada orang lain)

Catatan Dr Mohd Ariff Abd Rashid
Team ke 2, KM Padang HALUAN Malaysia


Cabaran Membangun Organisasi Dakwah

Assalamualaikum wt

[Disini saya sertakan catatan Akhie Razali Maarof (Ketua Biro Latihan Haluan Malaysia) untuk renungan kita bersama]



Dakwah Islam adalah dakwah yang meliputi semua persoalan hidup dan kehidupan manusia. Menyentuhi masalah aqidah, menerangi bashirah (pandangan), serta mampu memperlihatkan kepadanya yang haq itu haq dan yang batil itu batil dan membawa mereka untuk mengikuti kebenaran dan menjauhi kebatilan.

Tugas dakwah adalah menyeru manusia agar tetap berada dalam fitrahnya yang hanif, dan tetap mematuhi hukum Allah swt. Untuk memimpin manusia kepada jalan fitrah ini, menuntut suatu uswah hasanah (teladan yang baik). Diperlukan metodologi yang memiliki kebijaksanaan dalam mengajak manusia mengimani (mengikuti peraturan dan hukum) Allah dan mengingkari segala macam bentuk thaghut, sehingga dapat mengeluarkan mereka dari kegelapan (jahiliyah) menuju nur Islam yang penuh rahmat.

Keberhasilan sebuah dakwah banyak ditentukan oleh keutuhan sesebuah organisasi dakwah itu sendiri. Organisasi yang tersusun rapi dengan misi dan visinya serta pembahagian tugas yang jelas, akan memberikan impak yang besar bagi keberhasilan sebuah dakwah.

Menurut Dr. Fathi Yakan, keruntuhan dan ketempangan yang sering terjadi di dalam perjalanan dakwah disebabkan oleh beberapa faktor seperti kepimpinan, personaliti dan tekanan semasa.

Sebenarnya, sesebuah organisasi dakwah yang mengalami kelesuan dan gagal mengajak masyarakat untuk tetap berada dalam orbit peraturan Allah swt. disebabkan kerana kelemahan dalam pengurusan organisasi, terutama dalam pengagihan tugas dan fungsi yang tidak jelas. Selain daripada itu, faktor aliran komunikasi yang tidak jelas antara kepimpinan dan anggota organisasi juga menjadi penyumbang kepada kepincangan organisasi dakwah.

Pelaksanaan program yang tidak dilandasi dengan pembahagian kerja yang teratur akan mengakibatkan tertumpunya kesibukan kepada orang-orang tertentu sahaja sedangkan masih ada kekosongan peranan pada sebahagian besar tenaga yang lainnya. Selain itu, berlaku juga keciciran dalam mengoptimumkan potensi anggota kerana tidak mendapat perhatian dari kepimpinan organisasi, kebijakan bertindak yang tidak tepat, tidak adanya inventori keahlian para anggotanya mengikut kepakaran dan tingkat mustawa pentarbiahan yang terperinci, adanya dilema dalaman organisasi dalam menentukan halatuju organisasi, sikap ahli organisasi yang tidak peka kepada perkembangan organisasi dalam menghadapi tuntutan perubahan semasa, pemimpin yang lemah dan kurang memiliki kemampuan di dalam mempertahankan dan mengembangkan organisasi sesuai dengan tuntutan zaman dan semasa. Kesemua di atas merupakan penyebab kepada kelesuan bahkan petunjuk kepada kelembapan perkembangan sesebuah organisasi.

Menurut Dr. Fathi Yakan dan Dr. Sayid Muhammad Nuh dalam pemerhatian mereka terhadap pasang surut gerakan organisasi Islam juga dipengaruhi oleh beberapa faktor individu dalam organisasi, iaitu:

01Faktor Ujian di dalam organisasi dakwah dan kehidupan pendakwah merupakan cubaan yang getir. Al Quran telah menjelaskan kepastian ujian di dalam kehidupan seorang mukmin untuk menjernihkan saf dan perbezaan kualiti, serta sebagai penduga kedalaman iman.
“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al Ankabut:1-2)

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)

02Tekanan pihak keluarga dan kesibukan dalam kerjaya. Permasalahan yang sering dihadapi oleh mereka yang berkecimpung di medan Islami adalah dari pihak keluarga seperti isteri, suami, anak-anak dan ibu bapa. Manakala dalam pembinaan kerjaya, para dai’e telah disibukkan dengan pelbagai misi dan tugasan kerjaya sehingga tidak mampu memberi masa dan tenaga yang semaksimanya kepada tugasan dakwah. Impaknya dalam dua perkara di atas, iaitu faktor kekeluargaan dan kerjaya telah mengesampingkan keutamaan amal dalam menjayakan misi dan visi dakwah organisasi. Mendukacitakan lagi apabila prestasi mereka lebih kehadapan dan profesional dalam urusan kerjaya dan keluarga sebaliknya terkebelakang dan tidak profesional dalam urusan dakwah Ilallah. Sedikit sekali yang dapat melepasi dari faktor ini sehingga dapat dihilangkan rasa takut yang selalu mendominasi dada para da’ie, firman Allah swt yang bermaksud:


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (At Taubah: 24)

03Penyakit futur. Futur ialah suatu penyakit yang dapat menimpa sebahagian aktivis dan akan menimpa mereka secara praktikal (dalam bentuk perbuatan). Tingkatannya yang paling rendah berupa kemalasan, menunda-nunda atau melambat-lambatkan. Sering memberi alasan bahawa tugas dakwah itu sukar dan tidak mampu untuk melaksanakannya, meminimakan penglibatan diri dalam misi dakwah organisasi atau sekadar menawar diri untuk membuat tugasan yang paling mudah sahaja. Sedangkan kemuncak penyakit futur ini adalah berhenti sama sekali setelah sebelumnya rajin dan bersemangat.

Firman Allah swt. yang bermaksud:


“Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.” (Al-Anbiya’: 19-20)

Nabi saw. bersabda:

“Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu, kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri yang merasa bosan. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah swt. ialah uang dilakukan secara rutin meskipun hanya sedikit.” (Muttafaqa’alaih).

“Bagi tiap-tiap amal ada masa-masa rajinnya, dan tiap-tiap masa rajinnya itu ada kehangatannya. Barangsiapa yang kehangatannya itu kepada sunnahku, maka sesungguhnya ia telah memperolehi petunjuk; dan barangsiapa kehangatannya kepada selain sunnahku, maka sesungguhnya ia telah tersesat.” (H. R. Al-Bazzar)




04Cabaran rakan sekitar. Seseorang muslim dibesarkan di lingkungan keluarganya, kemudian berpindah tempat kerana faktor pendidikan atau pekerjaan dan akan bertemu dengan rakan-rakan yang baru. Di sinilah awal terjadinya tarikan jahiliah dan disini jugalah bermulanya pertentangan jiwa. Faktor ini biasanya menguji kepada generasi muda, golongan ini di peringkat awal menerima fikrah dan tanggungjawab dakwah di kampus, aksi mereka begitu bersemangat ketika zaman kampus, merekalah penggerak dan aktivis dakwah kampus. Namun apabila beralih ke medan pekerjaan, mereka ketinggalan dalam gerabak keretapi dakwah, sedangkan potensi, kekuatan dan semangat mereka amat diperlukan oleh organisasi dakwah. Hal ini terjadi apabila mereka tidak bijak memilih rakan taulan dan mereka tidak bijak dalam mengelola waktu dalan berkerjaya. Apabila rakan taulannya di tempat kerja adalah berakhlak baik maka ia akan baik juga, namun apabila sebaliknya maka ia mampu menjadi orang yang hina dina. Nabi SAW. bersabda yang bermaksud:

”Seseorang itu mengikuti keagamaan temannya, kerana itu hendaklah kamu memperhatikan orang yang akan kamu jadikan teman.” (H.R. Abu Daud)




05Tidak sistematik dalam melakukan sesuatu, baik yang dilakukannya sendiri mahupun bersama-sama. Ramai aktivis baik secara individu mahupun dalam organisasi yang melakukan kegiatan dakwahnya secara sambilan, tidak sistematik dan tidak teratur. Sehingga mereka mendahulukan masalah yang tidak penting dan mengakhirkan (bahkan mengabaikan) yang prinsip.

Penglibatan diri secara sambilan dalam misi dakwah organisasi serta melaksanakan amanah secara tidak sistematik ini akan menyebabkan jalan perjuangan menjadi beban dan tidak berkembang. Kesan lanjutnya mereka ini akan mudah lelah dan bosan. Barangkali dari sinilah kita mengerti rahsia wasiat Rasulullah saw. kepada Mu’adz bin Jabal ketika baginda mengirimnya ke Yaman. Sabda Nabi saw:

” Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum ahli kitab, maka ajaklah mereka untuk bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku adalah Rasul Allah. Jika mereka telah mentaatimu dalam hal ini, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka zakat yang dipungut dari orang-orang kaya di antara mereka, lantas dikembalikan (diagih-agihkan) kepada orang-orang fakir mereka. Jika mereka telah mematuhi hal ini, maka janganlah engkau merosak harta mereka yang baik-baik, dan takutlah engkau akan doa orang yang teraniaya kerana antara doanya dengan Allah tidak ada penghalang.” (Muttafaqa’alaih

Hadis ini merupakan kaedah pokok melaksanakan urusan dakwah secara sistematik, terancang, sesuai dengan keutamaan dan tingkat kepentingannya yang menuntut kecermatan dan ketelitian. Sikap Mu’adz bin Jabal yang faham akan maksud dan panduan yang diberikan oleh Baginda Rasul saw, menjadikan dakwah beliau berjaya di bumi Madinah Al Munawwarah.

Oleh: Mohd Razali Maarop (Ketua Biro Latihan HALUAN Malaysia)

Semalam bersama Pelajar KTD....Part 1

Assalamualaikum wt,

Telah lama rasanya waktu berlalu begitu saja. Umur pun semakin hampir sampai ke penghujungnya.Saban hari memikirkan sejauh mana kita menyeru orang lain kepada Islam. Pada petang jumaat baru-baru ini adalah saat-saat yang paling indah apabila berpeluang bersama 9 orang pelajar KTD (halaqah PESAT).Saya telah menyewa gelanggang badminton di MD Ketereh. Seronoknya dapat bersama mad'u....alangkah bahagianya hati ini.Walaupun saya tidak tau sejauh mana perasaan mereka, namun kehadiran mereka sudah cukup menyenangkan.Sesungguhnya Allah lah yang berhak memeberi hidayah kepada hambaNya.

Dikalangan mereka ada yang telah memiliki fikrah Islam, namun sebahagiannya masih lagi seperti remaja lain. Tak apa lah...yang penting mereka sudi datang.Permainan badminton petang itu di mulakan dengan membaca Ummul Kitab Al Fatihah, diiringi dengan strecthing. Permainan petang tu sememangnya rancak. Tapi tenaga orang muda tak sama dengan orang yang diambang limapuluhan. Selepas permainan itu tamat, saya mengarahkan semua berdiri dalam satu bulatan.Saya beri sedikit tazkirah ringkas.Matlamat kita bermain adalah untuk mendapatkan kekuatan. Kekuatan ini pula akan digunakan untuk beribadah kepadaNya. Jadi bermain badminton pun merupakan ibadah.Ada yang terkebil=kebil matanya, mungkin tertanya-tanya "main pun boleh jadi ibadah..?".Setelah selesai., kami bersalaman seorang demi seorang mengikut urutan bulatan tersebut.Memang sengaja saya buat begitu.Biar mereka faham tentang nikmat "Mahabbah fillah". Kasihsayang kerana Allah.Orang tua bersalaman dengan orang muda.Apalah salahnya kita turunkan ego kita sedikit.Kalaulah itu yang boleh dijadikan sebab untuk pintu hidayah terbuka, saya lakukan dengan rela hati.Saya lihat dari wajah mereka , mereka sangat gembira melakukannya.Bahagianya bersama-sama dengan generasi muda ini.Merekalah nanti bakal pewaris dakwah. Mereka perlu diselamatkan. Mereka perlu kita berikan perhatian.Hati mereka perlu kita tawan walau bagaimana susah sekali pun. Benih-benih iman dijiwa mereka perlu kita suburkan, disirami dengan limpahan kasihsayang.Dilubuk hati saya, bagaikan tak sabar-sabar lagi ingin melihat remaja-remaja ini akan menjadi rijalul aqidah, menjadi tentera dakwah, membawa panji -panji Islam disaat ummat dalam kegelapan.Memang...semua ini perlukan kesabaran. Semoga Allah memudahkan kerja-kerja saya.

dmar

Sambungan Misi Kemanusiaan Padang Team ke 2


Assalamualaikum wrh..


Insya-Allah, disini sambungan bagi catatan Misi 2 Haluan ke Padang...

Pariaman mempunyai 17 mukim dan kira-kira 320 buah kampong (Desa). Team kami hanya berkhidmat di lima buah kampung. Masjid dan surau di daerah Pariaman memang banyak , kira-kira 620 buah. Banyak masjid yang dibina mengikut suku kaum. Fahaman yang diamalkan disesuatu masjid sering berbeza. Kami sempat solat dibeberapa buah masjid dan itulah yang kami perhatikan.Keadaan dikawasan pendalam jauh lebih teruk. Kebanyakan masjid dan surau tidak terurus dan agak kotor. Ada diantaranya yang tidak memiliki tandas.


Ketika kami memberi khidmat perubatan di Desa Koto Tinggi, Pariaman, kami telah melihat masjid mereka yang runtuh.Maklumat dari jurupandu kami seorang muslimat PKS, masjid itu hanya digunakan ketika majlis-majlis seperti Maulidul Rasul, Isra’ mi’raj dan solat hariraya.Solat jemaah 5 waktu tidak ada. Anjing-anjing berkeliaran seperti ternakan lain. Penghuni pun kebanyakannya orang tua dan kanak-kanak . Sempat seorang pesakit wanita bercerita kepada saya. Dia kesempitan hidup, maklumlah isteri ke 2. Makan pun tidak cukup. Bila dia mengadu kepada suaminya. Suaminya mencadangkan agar dia menjadi seorang pelacur, jalan mudah dapat duit..


” Saya ngak sanggup Pak….walaupun rumah saya hancur, kerjapun ngak ada, saya tak sanggup lakukan itu” Kelopak matanya bergelinangan dengan airmata. Dalam hati saya tertanya juga, apa perlunya dia cerita semua ini, sedangkan tugas saya hanya untuk memberikan rawatan. Walaupun besar kemungkinan dia tidak solat ,tapi saki baki aqidah masih ada. Mental mereka benar-benar tertekan. Apa yang mampu saya katakan agar dia jangan sekali lupa pada Allah, minta dia jangan tinggalkan solat dan banyakkan berdoa agar Allah bebaskan dia dari penderitaan hidup ini. Sememangnya begitulah ujian Allah swt. Kesempitan hidup seringkali banyak menjauhkan manusia dari Allah swt, padahal Allah menjanjikan ganjaran yang cukup besar bagi orang-orang yang bersabar menahan penderitaan.


Kami dibantu oleh seorang relawan wanita PKS Indonesia, baru berusia awal dua puluhan. Melalui syaksiah dan cara dia berinteraksi dengan kami, kami tahu pasti dia seorang remaja yang berada dalam suasana tarbiyah.. Dia bersama abangnya sibuk membantu penduduk kampung mendapatkan rawatan disamping menjadi penterjemah kepada kami. Apabila sampai waktu masuk solat zohor, dia berkata, “ Pak,,,minta ijin, saya mahu solat dulu….” Dia tahu kami akan melakukan solat jama’ & qasar. Dia cukup menjaga waktu solat. Bila ditanya mengenai program tarbiyah yang di lalui , dia kata dia hanyalah sorang “mutarabbi” (orang yang menerima dakwah) dan belum boleh jadi murabbiyah lagi. Terbisik juga didalam hati saya, dimarhalah awal tarbiyah pun mereka sudah biasa dengan “term” arab. Bagaimana dengan kita..???


Menurut Pak Ridwan di sekitar Pariaman ada kira-kira 500 orang mengikut halaqah mingguan. Mereka bersemangat tinggi, bangga dengan vest dan baju yang tertulis dengan organisasi mereka. Mereka berhibur melalui nasyid-nasyid yang membakar semangat dan mencipta nasyid-nasyid jihad yang segar dan bersemangat. Melihatkan mereka, saya terasa sungguh kerdil. Bagaimana keadaan kita disini..kekurangan sensitivity, semangat..orang yang sudah lama berada dalam tarbiyah pun masih mahu dimanjai, tidak mahu menggembleng tenaga untuk kerja dakwah bahkan sukar sekali untuk kita mencari orang-orang yang sanggup menjadi Full-time Da’e..


Di Pariaman kita bukan memikul senjata, bukan mendaki gunung, bukan tidur didalam hutan, bukan menggali mayat-mayat yang busuk…Kita cuma memberi perkhidmatan dan rawatan, sama seperti yang kita lakukan di Malaysia. Hanya yang ada sedikit kepenatan dan keletihan. Tiada sorang pun dikalangan team kami yang mengeluh kesal , tapi yang ada hanyalah senyum kepuasan. Sungguh kami terasa puas dapat menyumbang kepada ummah pilihan iaitu ummat kepada deen yang suci ini, iaitu Islam. Walaupun nilainya tidak seberapa. Memang benar, bila kita turun ke medan amal, kita akan terasa lebih izzah terhadap kerja-kerja islam dan terasa satu kerugian jika kita berlambat untuk melaksanakan kerja-kerja ini. Jika sekalipun kita tidak mahu melakukannya, orang lain akan tetap melakukannya..dan kita akan terus ketinggalan..


Betullah rasa hati seorang sahabat Rasululllah Amr ibnu Al Jamuh ;


Amr ibn Al Jamuh, seorang yang tempang, memiliki 4 anak remaja yang ikut berperang bersama Rasulullah.Amr mahu ikut berperang bersama Rasulullah.Anak-anaknya berkata “ Allah telah memberi kemudahan kepada bapa,Bapa boleh duduk dirumah saja, biar kami menggantikan bapa kerana Allah tidak mewajibkan Jihad keatas bapa “. Lalu Amr ibn Al Jamuh telah merayu kepada Rasulullah saw dan berkata, Wahai Rasulullah, anak-anak saya telah menghalang saya untuk berperang bersama anda.Demi Allah saya sangat berharap hendak mati syahid agar saya dapat berjalan dengan kaki tempang saya didalam syurga.” Lalu Rasulullah saw telah bersabda kepadanya “Adapun engkau maka Allah tidak mewajibkan jihad keatas engkau” Kemudian Rasulullah sw telah bersabda kepada anak-anaknya”Apakah salahnya kamu berdoa semoga Allah mengurniakan mati syahid kepada ayahmu?. Kemudian Amr Al Jamuh keluar bersama Rasulullah lalu dia gugur syahid pada hari perperangan uhud.


Allahu Akhbar….seorang sahabat yang telah pun uzur dan tempang kaki, terlalu sedih kerana tidak dapat mengikuti angkatan perang Rasulullah saw, sentiasa berikhtiar untuk pergi berjihad. Kita pula bagaimana? Adakah kita berusaha sungguh-sungguh untuk menyahut seruan jihad dan menyumbang tenaga ataukah kita masih berkira-kira untuk waktu dan tenaga yang akan kita bazirkan untuk suatu pekerjaan yang tiada gaji ini?...Semua ini hanyalah sekadar latihan, tadrib dalam bentuk realiti… Saya memohon ampun kepada Allah kalau catatan ini ada kesilapan.Ia hanyalah sebagai muhabah untuk diri kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang daie , InsyaAllah. Jika ada peluang masa, saya akan cuba sambung lagi.Wassalam..


Catatan Perjalanan,
Dr.Mohd Ariff B.Abd Rasyid

Misi Kemanusiaan Padang Team ke 2


Catatan Pengalaman di Padang


Hari pertama 14/10/09, kami pasukan kedua Team Misi Kemanusiaan Padang terus dibawa ke sebuah desa di kawasan pendalaman iaitu Desa Batu Mengaum. Kehadiran kami seakan-akan memang dinanti-nantikan oleh penduduk disitu. Wajah mereka kelihatan sugul dan muram terutama dikalangan org dewasa. Rumah mereka rosak atau roboh. Tiada yang selamat. Mereka hanya tinggal di dalam khemah-khemah, ada juga yang terpaksa berteduh dibawah runtuhan atap zink. Keadaan yang menjadi bertambah sulit buat mereka apabila hujan turun. Mereka hanya mengisi perut dengan mee segera, kerana ketiadaan wang untuk membeli beras. Melihatkan kanak-kanak disana, apalah yang mereka tahu tentang sebuah kesengsaraan dari tragedi itu, mereka tetap ceria dan gembira.


Klinik bergerak Haluan dibuka dari jam 3.00 ptg dan berakhir pada jam 10.00 malam. Jumlah pesakit yang dirawati adalah 150 orang. Sememangnya team kami berazam untuk memberi yang terbaik kepada penduduk kampung. Walaupun agak keletihan dengan jumlah pesakit yang ramai, kami sentiasa ceria melayan kerenah mereka dan kanak-kanak.


Situasi disana benar-benar mentarbiyah kami tentang hakikat sabar dalam menghadapi karenah mereka. Mana tidaknya, selepas ubat diberi, mereka meminta pula ubat untuk ibu dirumah, selesai itu, mereka minta pula ubat cacing untuk anak. Pelbagai permintaan dan ragam. Terasa memang geram…tetapi bila diingatkan kembali kita membawa risalah dakwah, ana tukarkan mind-setting dari perasaan geram kepada perasaan kasih sayang dan simpati. Bila ana berikan semua ubat yang diminta ana pun tanya dia “ Macam mana ibu..sudah puas hati? “ Dia pun menjawab “Sangat puas hati pak..terima kasih pak…” dia terus berlalu dari situ sambil tersenyum puas.


Misi kali ini diketuai oleh Akhie Zailani. Beliau sungguh cekap dalam menguruskan perjalanan klinik serta sangat berpengalaman di dalam pengurusan misi kemanusian. Beliau pernah menyertai misi kemanusiaan Haluan ke Acheh dan Jogjakarta, sementara akhie Amri pernah mengikuti misi kemanusiaan Haluan di Pakistan, Akhie Amri dan Akhie Azmi menjawat jawatan sebagai dispenser sementara akhie Hafiz (Haluansiswa) sibuk bertugas sebagai urugambar kami.


Menjelang maghrib, klinik ditutup sebentar. Kami dipelawa untuk menunaikan solat maghrib dirumah seorang penduduk berhampiran dengan klinik. Nasibnya agak baik kerana rumahnya hanya mengalami beberapa keretakan kecil. Ana kagum cara dia melayan kami. Dari percakapannya bolehlah dibuat kesimpulan yang dia amat gembira dengan rawatan dari kami (orang Malaysia). Klinik kemudiannya diteruskan sehingga jam 10 malam. Seorang penduduk wanita datang mendekati kami. Dia merupakan antara yang aktif menguruskan penduduk kampung untuk mendapatkan rawatan. Dia kata “Kami sudah lama ngak senyum pak…tapi hari ini kami boleh tersenyum…” Dari raut wajahnya memang dia nampak ceria. Ana bertanya kembali kenapa kata begitu. Dia jawab “ Sebab semua bapak disini baik-baik dan selalu tersenyum…kami senang sekali.” Terlintas difikiran, rupa-rupanya senyuman kita pun boleh menghilangkan stress dan membuat orang lain tersenyum..


Sebelum berangkat pulang, seorang kanak-kanak menyelinap masuk menaiki kenderaan kami. Dia tidak mahu turun walau beberapa kali telah dipujuk. Semua orang ketawa melihat telatah nya. Kemudian kenderaan kami bergerak. Terasa sebak didada…kita kembali menuju kemewahan hidup. Sedangkan mereka terus tinggal diselimuti penderitaan. Rumah tiada, makan pun susah. Siapalah yang sudi membantu mereka. Kita hanya bersimpati, tapi pernahkah kita menghulurkan sedikit wang untuk membantu mereka, melihat anak-anak menangis. hati terasa sayu....


Kami memang keletihan, keringat pun masih belum kering, perut pun dah terasa lapar. Dalam hati kami ada kepuasan, nikmatnya berada dijalan Allah. Perjalanan yang penuh dengan tarbiyah, makna sebuah kasih sayang, pengorbanan dan kesabaran dalam menempuh ujian.Teringatakan maksud firman Allah "Berangkatlah kamu sama ada didalam keadaan senang atau susah dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu dijalan Allah.." Ana terlalu bersyukur kerana terpilih mengikuti misi kali ini.Sebelum datang ke Pariaman ana selalu berdoa kepada Allah agar dipilih mengikuti misi ini. Syukur kepada Allah hajat ana termakbul.Ameen.



Catatan Perjalanan,
Dr. Mohd Ariff Bin Abdul Rasyid
Misi-2 Haluan Ke Padang, Indonesia

Salam Sejahtera

Assalamualaikum (wt)

Saya hanyalah seorang hamba, semoga Allah sentiasa memimpin saya ke jalan yang di redhaiNya.Namun begitu di sini kita dapat berinteraksi demi untuk meningkatkan iman kita,InsyaAllah.

About Me

My Photo
Mohd Ariff B. Abd Rashid
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Saya seorang GP, membuka klinik swasta (Klinik Ehsan) di Ketereh,Kota Bharu Kelantan
View my complete profile

Followers

Waktu

Mutiara Kata

"Kalian adalah umat yang beruntung kerana menjadi umat yang MEMILIH untuk bangkit berijhad, bukan umat yang TERPAKSA bangkit untuk berjihad. Kalian menjadi tangan yang di atas (memberi) bukan tangan yang dibawah (terpaksa menerima). Ganjaran di sisi Allah, sama seperti seolah-olah kalian sedang berjihad dihadapan Baitul Muqadis... Andainya Kalian mati tidak mustahil Allah masukkan Kalian bersama para syuhada..."
Sheikh Abu Bakar al Awawidah (Pejuang Palestin) Ketika Kunjungan Beliau Ke Malaysia Anjuran HALUANPalestin

Popular Posts

Haluan Tarbawi

Pesanan

Haluan Malaysia

Haluan Malaysia
Berakhlak, Mendidik & Berbakti

Tetamu

Featured Posts

...